PENAMPILAN khas penyanyi Altimet mencuri perhatian pelajar.
PENAMPILAN khas penyanyi Altimet mencuri perhatian pelajar.
PELAJAR tekun mendengar penerangan mengenai pembikinan teater OlaBola.
PELAJAR tekun mendengar penerangan mengenai pembikinan teater OlaBola.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Perubahan dan kemajuan dalam arus kemodenan di negara ini tidak dinafikan memberi kesan terhadap seni yang menjadi sebahagian daripada warisan sejarah.

Anak muda tidak meminati seni dianggap antara kesan paling jelas berbanding hiburan berbentuk moden yang sering menjadi pilihan mereka.

Situasi itu mendorong Yayasan Hasanah (Hasanah) mengambil inisiatif dengan memberi peluang kepada 400 belia yang terdiri daripada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia menonton pementasan teater OlaBola.

Pementasan teater selama dua jam 45 minit itu berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dan turut disertai Naib Presiden Kanan dan Ketua Seni, Warisan dan Budaya Hasanah, Zainariah Johari.

Selain itu, penampilan khas penyanyi yang memperjuangkan irama hip hop, Altimet menjadikan suasana Panggung Sari bertukar gamat.

Pementasan teater berkenaan adalah adaptasi daripada filem OlaBola ditayangkan di pawagan pada 2016 yang mengisahkan perjuangan penuh getir skuad bola sepak kebangsaan untuk mara ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1980.

Berlatar belakangkan kepelbagaian budaya dan etnik masyarakat majmuk di negara ini, kisah itu berkisar berkenaan bagaimana legenda bola sepak tanah air pada ketika itu cekal memikul harapan dan memenuhi aspirasi seluruh rakyat, mengatasi cabaran, meraikan perbezaan serta bersatu mencapai visi negara secara kolektif.

Zainariah berkata, usaha itu untuk menyokong seni persembahan tempatan selain memberikan pengalaman kebudayaan kreatif yang tidak akan dilupakan golongan belia di negara ini.

Beliau berkata, teater OlaBola itu sarat dengan mesej berkenaan kehidupan dalam kepelbagaian dan kekuatan menerusi perpaduan.

“Kami percaya seni mampu mencetuskan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan latar belakang bangsa serta agama.

“Menerusi pementasan yang hebat ini diharapkan peserta dapat lebih menghargai sejarah dan jasa wira sukan tanah air,” katanya kepada Nuansa.

Murid, Nur Ellyana Raslina Abdullah, 12, berkata, peluang kali pertama menyaksikan pementasan teater OlaBola adalah sesuatu yang mengujakan kerana jalan ceritanya sangat menarik.

“Teater ini memberi banyak mesej berguna dan paling penting membentuk nilai cintakan kepada negara.

“Ada satu babak menyentuh hati saya yang mana Muthu (penjaga gol) dibuang keluarga kerana bapanya tidak setuju dia menyertai pasukan Harimau Malaya.

“Namun akhirnya bapanya dapat menerima Muthu kembali apabila Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan,” katanya yang pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, dia akan mengajak keluarga dan rakan untuk menonton teater itu kerana ia sangat berbeza dengan teater serta filem yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 12:11 PM