GAMBAR kiri, Shalia sebagai pelakon utama. Maisyarah.
GAMBAR kiri, Shalia sebagai pelakon utama. Maisyarah.
HM Digital

Teater Erendira dan Angin Petakanya akan dipentaskan buat kali ketiga oleh pengarah Maisyarah Mazlan, alumni jurusan Teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Teater menampilkan lakonan Shalia Shuid, pelajar jurusan Teater di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM ini akan dipentaskan di TOP Studio (The Oppressed Production) di Bandar Saujana Putra mulai hari ini hingga Ahad ini jam 8.30 malam.

Sebelumnya, teater ini pernah dipentaskan sebanyak dua kali di Jogjakarta, Indonesia.

Kali pertama pada 2007 oleh Sri Qadariatin iaitu seniman Teater Garasi/ Garasi Performance Institute dan yang kedua adalah pada 2015 oleh Maisyarah ketika dia menjalani latihan industri di Jogjakarta.

Menariknya berkenaan dua teater ini adalah kerana ia adalah sebuah ‘one-woman show’ yang diangkat daripada novel berjudul Innocent Erendira and Her Soulless Grandmother karya penulis terkemuka, Gabriel Garcia Marquez.

Naskhah ini diadaptasi dan diterjemahkan Bahasa Indonesia oleh Gunawan Maryanto iaitu seorang pelakon, penulis dan Associate Artistic Director di Teater Garasi/ Garasi Performance Institute.

“Berbeza dengan dua pementasan sebelumnya, pementasan kali ini akan dipentaskan dalam Bahasa Malaysia supaya lebih mudah difahami penonton tempatan.

“Oleh kerana pelakon juga berbeza daripada dua pementasan yang sebelumnya, maka cara penyampaiannya juga akan berbeza. Yang penting, jangan lupa bawa wang lebih kerana ada sesuatu yang menarik akan berlangsung di pertengahan pementasan yang akan membuatkan anda menabur wang anda pada pelakon solo kami,” kata Maisyarah.

Maisyarah ditawarkan untuk mengadakan pementasan di situ oleh Sakdon, pemilik TOP Studio dan dia sangat berbesar hati menerimanya.

Sakdon pula sangat berbangga kerana sebuah karya dari luar dapat dipentaskan di ruang studio mini berkonsepkan teater bajet namun jiwa karya ini sangat besar.

“Tak sabar rasanya untuk menonton teater ini dan dikongsikan pada khalayak untuk tontonan bersama-sama,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM15 untuk umum dan RM12 bagi pelajar. Mereka yang membawa kad pelajar akan menerima diskaun RM3.

Teater ini mengisahkan Erendira yang tinggal bersama neneknya tetapi dilayan seperti seorang hamba.

Angin petaka berhembus lalu menyebabkan Erendira harus membayar ‘hutang’ seumur hidupnya kepada si nenek sehingga satu hari, Ulises datang dan cuba menyelamatkan Erendira. Tetapi berjayakah Ulises?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 4:16 AM