Adly Zahari. FOTO BERNAMA
Adly Zahari. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan sentiasa terbuka serta memberikan kerjasama supaya pihak yang terbabit dalam isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibawa ke muka pengadilan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, beliau menafikan tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap pihak terbabit, malah pihak berkuasa berkaitan menyiasat perkara itu.

"Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan kerjasama kerana selain memberikan keutamaan kepada penyiasatan ini, teras utama kita memastikan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberikan keutamaan.

"Paling penting, kedaulatan negara menjadi keutamaan kita," katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung dakwaan sehingga kini tiada individu ditahan dan diambil tindakan mahkamah dalam isu itu.

Dalam pada itu, Adly berkata, kapal LCS pertama dijangka disiapkan pada November 2024 sebelum boleh digunakan TLDM pada penghujung 2026.

"Kontrak Tambahan keenam ditandatangani pada 26 Mei lalu adalah tarikh permulaan semula kerja-kerja pembinaan LCS.

"Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam perjanjian tambahan, Kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pada November 2024 sebelum melalui ujian Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh pihak TLDM.

"InsyaAllah Kapal LCS pertama dijangka akan dapat ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:43 PM