GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor merekodkan 776 kebakaran terbuka membabitkan kebakaran hutan, kebun/ ladang, belukar/lalang juga sampah sejak Mac sehingga hari ini.

Pengarahnya, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 127 kes kebakaran hutan, 74 kes kebakaran kebun/ladang, 332 kes kebakaran belukar/lalang dan 243 kes kebakaran sampah.

"Bagi tempoh sama tahun lalu, bagi kesemua kes kebakaran terbuka ini, statistik merekodkan sejumlah 673 Kes.

"Tahun ini, pihak bomba mengambil masa beberapa jam sehingga dua hari untuk memadamkan kebakaran terbuka ini, setakat ini keadaan terkawal dan kami sentiasa bersiap siaga," katanya dalam sidang media selepas Majlis Nota Serah dan Terima Tugas Penolong Pengarah Bahagian dan Ketua Balai JBPM Negeri Selangor di Ibu Pejabat, JBPM Negeri Selangor, Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata, pihaknya menerima kes panggilan kebakaran hutan di kawasan hutan Kuala Langat Utara dan Selatan serta Johan Setia.

Wan Md Razali (dua Kiri) menyaksikan Majlis Nota Serah Tugas antara Hafisham (kiri) dengan Muhamadul Ehsan (dua, kanan). FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Wan Md Razali (dua Kiri) menyaksikan Majlis Nota Serah Tugas antara Hafisham (kiri) dengan Muhamadul Ehsan (dua, kanan). FOTO RUWAIDA MD ZAIN

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya menolak 53.8 peratus dari keseluruhan 2,433 permohonan perakuan pelan bangunan yang tidak memenuhi syarat ditetapkan sehingga Mei lalu.

"Antara punca penolakan pelan adalah ramai perunding masih belum memahami dengan jelas perubahan yang berlaku dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 (Pindaan 2021) yang dikuatkuasakan pada Januari lalu, ramai masih mengikuti UBBL lama.

"Selain itu, menyukarkan akses jentera bomba, reka bentuk tidak seperti Undang-Undang Kecil 140 (UUK 140). Rekabentuk laluan keluar dari bangunan tidak mengikut Jadual ke 7 UBBL," katanya.

Bagi mengeluarkan sokongan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pula katanya, sebanyak 766 projek dibuat pemeriksaan pada tahun lalu.

"Sejumlah 631 daripadanya diberi sokongan CCC dan 135 atau sebanyak 17.6 peratus pemeriksaan premis ditolak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:14 PM