Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor hari ini menggerakkan dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu siasatan forensik kebakaran Wisma Jakel, Seksyen 7, di sini.

Kedua-dua anjing bernama Rusty dan Sam memasuki lokasi kebakaran berkenaan pada 10 pagi selepas tiada lagi asap dalam bangunan.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan JBPM Selangor, Norizham Mohd Nurdin berkata, kehadiran unit K9 adalah adalah prosedur biasa dalam menyiasat kes kebakaran.

"Anjing yang kita gerakkan hari ini bukan anjing yang digunakan dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember lalu.

"Mereka (anjing) mempunyai kepakaran berbeza dan K9 yang digerakkan hari ini dilatih untuk penyiasatan kebakaran dengan dua ekor digerakkan bagi setiap kali proses siasatan.

"Anjing ini akan membantu dalam mengesan punca (kebakaran) yang mana salah seekor daripadanya akan membuat pengesahan (apabila menemui puncanya)," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, bomba akan melakukan siasatan berdasarkan struktur bangunan, saksi, video orang awam yang dimuatnaik media sosial.

Katanya, keterangan pemanggil juga membantu berikutan individu berkenaan antara yang melihat kedudukan awal api semasa kebakaran berlaku.

"Kalau ikut bangunan ini memang besar dan kita tidak siasat keseluruhan bangunan sebaliknya akan siasat di lokasi bermulanya api.

"Dua anjing itu menyiasat dan memfokuskan di tingkat satu yang dipercayai kebakaran bermula," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan kebakaran disebabkan litar pintas, Norizham menegaskan sebarang punca hanya diketahui selepas ujian makmal dilakukan sebaik proses siasatan di lokasi kejadian selesai.

Dalam pada itu, 50 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Kota Anggerik dan Ibu Pejabat JBPM Selangor bertugas di lokasi kebakaran hari ini.

Gedung tekstil terkemuka itu terbakar kira-kira 7 pagi, semalam.

Susulan kebakaran itu, Kumpulan Jakel dianggarkan mengalami kerugian awal hampir RM100 juta bagaimanapun jumlah itu hanya membabitkan nilai bangunan, manakala jumlah sebenar masih belum dapat dianggarkan.

ANGGOTA JBPM Assan John (kanan) dan rakan Jovesster Junil (dua, kiri) membawa anjing pengesan Unit K9 Sam dan Rusty ketika melakukan siasatan susulan kebakaran Wisma Jakel. FOTO Bernama
ANGGOTA JBPM Assan John (kanan) dan rakan Jovesster Junil (dua, kiri) membawa anjing pengesan Unit K9 Sam dan Rusty ketika melakukan siasatan susulan kebakaran Wisma Jakel. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:22 PM