Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Ketika berada di tingkat bawah rumah, saya dengar suara orang meminta tolong dan menyangkakan ada kejadian pecah rumah sebelum melihat rumah jiran sudah terbakar," kata Muhammad Sha'ari, 21, yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab, di sini, pagi tadi.

Kebakaran jam 2.45 pagi itu menyebabkan sembilan unit kediaman hangus dan kira-kira 30 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Muhammad berkata, dia mengalami kecederaan ringan kerana terkena bara api dalam usaha menyelamatkan diri.

Dia yang juga cedera di betis kanan akibat kemalangan sembilan hari lalu berkata, dalam keadaan terhincut-hincut dia kembali ke rumah untuk mengejutkan ibu serta kakaknya sebaik mengetahui rumah jiran sedang terbakar dan api sudah merebak ke kediaman mereka.

"Sebaik keluar, saya ternampak api sudah membakar beberapa rumah jiran dan segera membawa keluar motosikal ke tempat selamat sebelum kembali semula ke rumah untuk mengejutkan ibu dan kakak.

ANGGOTA bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran. FOTO Siti Rohana Idris
ANGGOTA bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran. FOTO Siti Rohana Idris

"Ketika melalui celah rumah yang sedang terbakar itulah kaki terkena bara dan cedera sedikit namun saya tidak mengendahkan sebaliknya terus mengejutkan ibu, manakala kakak sudah longlai dan terpaksa dipapah kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.56 pagi.

Katanya, seramai 41 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah induk yang dipecahkan kepada sembilan bahagian dan dihuni oleh tujuh keluarga yang mana majoritinya adalah saudara mara.

"Tiada sebarang halangan yang dihadapi sebaliknya pasukan kami bertindak pantas memadamkan api dan berjaya menyelamatkan beberapa rumah bersebelahan kerana terletak dalam jarak yang dekat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Farid berkata, api dapat dikawal pada jam 3.48 pagi dan padam sepenuhnya pada 5.11 pagi.

Menurutnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:05 AM