Siti Rohana Idris


TINDAKAN lelaki kurang siuman membakar sampah berhampiran rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat, membawa padah apabila kediaman itu hangus terbakar.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, rumah yang didiami lelaki berusia 44 tahun seorang diri hangus 100 peratus.

Seorang jiran, Nora Ahmad, 51, berkata, kejadian itu disedari anaknya yang ternampak api di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Tidak lama kemudian penghuninya datang ke rumah saya dan memberitahu rumahnya terbakar serta meminta sebotol air daripada jiran lain dengan alasan untuk memadam api.

“Ketika itu api sudah marak dan cepat merebak. Anak saya bersama seorang jiran cuba memadam api, tetapi keadaan api yang sangat marak memaksa mereka berundur, manakala penduduk lain menghubungi bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

KEADAAN rumah milik seorang lelaki kurang siuman yang hangus 100 peratus dipercayai bermula dari kebakaran sampah yang dilakukannya malam tadi di Lorong Kubang Raja, Kampung Bunut Sarang Burung, di Tumpat. FOTO Rohana Idris
KEADAAN rumah milik seorang lelaki kurang siuman yang hangus 100 peratus dipercayai bermula dari kebakaran sampah yang dilakukannya malam tadi di Lorong Kubang Raja, Kampung Bunut Sarang Burung, di Tumpat. FOTO Rohana Idris

Seorang lagi jiran, Nurul Amni Rusli, 30, berkata, dia terus mengambil dokumen penting selepas melihat api semakin marak.

“Suami cuba memadamkan api bersama jiran namun melihatkan kebakaran tidak dapat dikawal, mereka segera berundur.

“Lelaki yang menghuni rumah itu pula sudah tiada di sekitar rumah dan tidak diketahui ke mana perginya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan diterima pada 10.58 malam.

Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat serta Wakaf Bharu terbabit dalam operasi.

“Api dapat dikawal kira-kira sejam dan operasi tamat pada 12.20 tengah malam.

“Anggaran kasar kerugian adalah RM20,000, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 1:52 PM