Faizul Azlan Razak

Permaisuri: Kebakaran yang berlaku bukan hanya memusnahkan kediaman suami isteri ini, malah semua kelengkapan untuk menyambut bayi sulung mereka turut hangus.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam tadi, rumah Farah Farhana Hassan, 21, dan suaminya, Aswad Abdullah, 42, antara empat rumah kedai di Kampung Rahmat di sini yang musnah dalam kebakaran.

Farah Farhana yang sarat hamil tujuh bulan berkata, dia berada di bengkel menemani suaminya ketika dihubungi jiran yang memberitahu melihat api dari rumahnya.

"Sebelum itu, saya ada terdengar bunyi letupan, namun ingatkan ada budak-budak bermain mercun.

"Suami cuba memadam kebakaran itu, tetapi gagal kerana api marak dengan cepat. Kami hanya mampu melihat saja tanpa dapat selamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui hari ini.

EMPAT rumah kedai di Kampung Rahmat musnah dalam kebakaran. FOTO Faizul Azlan Razak
EMPAT rumah kedai di Kampung Rahmat musnah dalam kebakaran. FOTO Faizul Azlan Razak

Menurut Aswad, dia hanya sempat menyelamatkan tiga kereta pelanggan daripada terbakar, manakala wang tunai RM16,000, barang kemas dan kelengkapan bayi hangus.

"Saya reda dengan kejadian ini dan buat sementara waktu akan menumpang rumah keluarga di Kampung Pak Kancil, di sini," katanya yang memberitahu menyewa bengkel kenderaan itu sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapaie berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 7.36 malam.

"Kebakaran membabitkan empat unit rumah kedai yang musnah 90 peratus dan kejadian itu turut mengakibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Honda musnah 100 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 1:05 PM