GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita kerugian lebih RM5,000 apabila rantai emas dipakainya diragut dua lelaki ketika membeli makanan di Taman Teratai, Senawang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, dua lelaki bermotosikal dikatakan menarik rantai dipakai mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Farah, 33, berkata, pada mulanya dia menyangka rakan yang bergurau menariknya dari belakang sebelum mendapati barang kemas itu dilarikan.

"Ketika kejadian, saya baru habis bekerja di sebuah kilang di Senawang dan mahu membeli makanan di hadapan sebuah kedai serbaneka.

"Dalam tempoh lima minit kemudian, saya terasa seperti ada orang tarik dari arah belakang.

"Saya memang terdorong ke belakang sebelum mendapati rantai emas yang dipakai lesap. Difahamkan dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru melarikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ada beberapa saksi ternampak dua lelaki berkenaan sudah dua kali berpusing di kawasan itu dan difahamkan suspek turut menanggalkan nombor pendaftaran motosikal.

"Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Senawang pada jam 7.40 malam. Kejadian ini membuatkan saya trauma apabila terdengar bunyi motosikal walaupun duduk di dalam rumah.

"Rantai emas itu saya beli dengan hasil kerja keras saya, namun suspek senang-senang mengambilnya. Saya harap sesiapa yang ternampak atau mempunyai rakaman papan pemuka dapat membantu polis mengesan suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis sedang memburu dua suspek kes ragut terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Arifai berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norashikin Hashim di talian 017-2441954 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban, 06-6033222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 3:49 PM