Honda Jazz yang dinaiki empat lelaki yang terbabas di Jalan Lee Poon, Rembau selepas dikatakan melarikan diri daripada polis dari Senawang, di sini. FOTO Ihsan Polis
Honda Jazz yang dinaiki empat lelaki yang terbabas di Jalan Lee Poon, Rembau selepas dikatakan melarikan diri daripada polis dari Senawang, di sini. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis memburu empat lelaki yang melarikan diri sejauh 20 kilometer (km) menggunakan kereta selepas dikejar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 2.40 pagi itu, polis mengesan dan mengejar mereka dari kawasan Taman Senawang Indah di sini hingga ke Jalan Lee Poon, Rembau.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, bagaimanapun, sebaik tiba di jalan itu, kereta Honda Jazz dinaiki suspek terbabas dan mereka dikatakan sempat meloloskan diri.

"Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan rutin mengesan kereta berkenaan yang memecut dari hadapan Pasaraya Mydin Senawang sehingga ke Jalan Lee Poon.

"Kenderaan itu terbabas dan empat suspek melarikan diri ke kawasan gelap dengan meninggalkan kenderaan terbabit di lokasi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kenderaan sudah ditarik ke balai polis dan siasatan lanjut dijalankan termasuk mengenalpasti nombor pendaftarannya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihaknya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Maklumat boleh disampaikan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norhasikin Hashim di talian 017-2441954 atau IPD Seremban 06-6033222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 6:36 PM