GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Ahmad Ismail


Tangkak: Tindakan seorang remaja perempuan memeras ugut menyebarkan gambar tidak senonoh seorang wanita sehingga menyebabkan kerugian RM27,000 mengundang padah apabila ditahan di Taman Seri Nilam di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, remaja berusia 17 tahun diberkas kira-kira 4 petang semalam susulan laporan dibuat wanita terbabit di Balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak Isnin lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan laman Facebook (FB) milik individu lain atas nama 'Rayyan Razak' untuk mengugut menularkan gambar tidak senonoh wanita berusia 20 tahun itu jika gagal menyerahkan sejumlah wang.

"Kejadian berlaku selepas mangsa mengenali suspek melalui Instagram bermula 28 Januari lalu.

"Sejak itu, wanita itu menyerahkan RM27,000 kepada suspek melalui 32 transaksi dan tiga akaun berlainan selepas suspek terus mengugutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ugutan terakhir dilakukan suspek pada 11.20 malam Rabu lalu apabila suspek meminta wang RM600 lagi menyebabkan mangsa nekad memberitahu ibunya berhubung perkara itu sebelum membuat laporan polis.

"Siasatan mendapati mangsa tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan suspek.

"Ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah telefon berjenama Oppo berserta kad sim, sekeping kad bank dan wang tunai berjumlah RM152 daripada suspek," katanya.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 6:01 PM