GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni

Sibu: Seorang guru wanita yang panik apabila didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram kerugian RM118,000 selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, mangsa berusia 58 tahun sebelum itu dihubungi suspek memperkenalkan dirinya sebagai wakil sebuah syarikat insurans pada 28 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, suspek kemudian memberitahu mangsa pernah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali, namun dinafikan wanita terbabit.

Katanya, bagi menyakinkan mangsa, suspek menyambung talian kononnya pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum dimaklumkan wanita itu turut terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.8 juta.

"Mangsa menjadi panik dan mula bimbang sebelum dihubungi oleh seseorang yang memperkenalkan diri sebagai peguam dan menawarkan khidmat untuk menyelesaikan masalahnya.

"Mangsa dinasihatkan membuka satu akaun bank baru dan seterusnya diminta untuk menyerahkan gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek pada 7 November 2021.

"Disebabkan itu, mangsa mengikut kesemua arahan yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat pinjaman bank berjumlah RM75,000 sebelum memindahkan kesemua wang berkenaan ke akaun bank barunya itu pada 15 November lalu.

Katanya, wanita itu turut membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM27,000 yang dipinjamnya dari sebuah lagi bank, dua hari kemudian.

"Suspek juga mengarahkan mangsa untuk mengadai barang kemas miliknya bernilai RM20,000 dan memindahkan RM16,000 ke akaun bank berkenaan pada 16 November 2021.

"Mangsa diarahkan tidak memaklumkan kepada sesiapa dan membuang semua dokumen transaksi sehinggalah dia menceritakan perkara itu kepada suaminya yang kemudian menyedari ditipu," katanya.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 3:31 PM