Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran khas berjumlah RM200 juta kepada Kedah berikutan pengorbanan negeri itu menyumbang keterjaminan makanan negara dan sumber air untuk negeri jiran.

"Pampasan ini kiranya bayaran khas kepada Kedah kerana kita simpan sawah padi...dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN Ke-2) kata hendak bagi (pampasan) tetapi sekarang sudah RFN Ke-4, masih tiada apa-apa, mungkin kerajaan Persekutuan belum ada formula lagi.

"Antara pampasan yang Kedah minta adalah untuk kawasan hutan simpanan dan sawah padi dan itu bukan banyak mana jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan di peringkat Pusat, celah gigi saja," kata Muhammad Sanusi selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Februari lalu membuat permohonan itu berikutan Kedah terpaksa menyimpan seluas 107,495 hektar tanah untuk keterjaminan air bagi Pulau Pinang dan Perlis.

Selain itu, Ku Abd Rahman dipetik berkata, kawasan seluas 107,472 hektar tanah pula digunakan untuk tanaman padi yang menyumbang 40 peratus kepada keperluan beras negara.

Muhammad Sanusi mendesak Kerajaan Persekutuan memberikan pampasan untuk kepentingan kerajaan negeri dan rakyat di Kedah.

"Jadi kita minta Kerajaan Persekutuan segerakan bayaran dengan formula yang munasabah, masa untuk tengok atau kaji pampasan itu sudah berlalu.

"Apa yang saya buat ini adalah untuk rakyat Kedah, bukan untuk kepentingan parti politik saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 7:55 PM