Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Kerajaan bercadang menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta untuk membuka sawah padi di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan penghasilan beras putih tempatan (BPT).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perancangan pembukaan sawah di dua negeri terbabit sedang berjalan termasuklah penelitian kewangan menerusi perbincangan bersama Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Perdana Menteri mengakui kerajaan menghadapi masalah berhubung peruntukan besar bagi mengatasi masalah pengairan di lokasi yang sudah dikenal pasti namun bersedia mengambil langkah menjalin kerjasama bersama syarikat swasta demi memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat terpelihara.

"Beliau (Anwar) kata memang kita tak ada wang sekarang, tapi kita bincang bagaimana hendak bersama dengan (syarikat) swasta digabungkan tenaga dan kita dapat jalankan (pembukaan sawah padi berskala besar di Sabah dan Sarawak).

"Misalnya, Sabah kita sudah kenal pasti keluasan tanah sawah lebih 50,000 ekar yang kita nampak ada masalah pengairan.

"(Kos) pengairan ini sudah dihantar kepada kita, dibincang jumlahnya bilion ringgit juga. Tapi demi 'food security', saya rasa kerajaan kena bertindak," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja beliau ke Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra, Seberang Perak, di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan penghasilan padi bagi Sabah saja mampu menampung sehingga 40 peratus kegunaan tempatan dengan pengeluaran hasil pertama dijangka tiga atau empat tahun akan datang.

Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan baru-baru ini bagi memastikan sasaran itu tercapai.

Mengulas mengenai perancangan pembukaan sawah di Sarawak, Mohamad tidak menyebut secara terperinci jumlah keluasan tanah namun jelasnya ia pasti lebih luas berbanding Sabah.

"Sarawak ini pula pertaniannya memang agresif dan mereka ada tempat yang penghasilan padinya mencapai tujuh tan," katanya.

Beliau berkata, pembukaan sawah di dua negeri itu sangat penting sebagai persiapan sekiranya berlaku fenomena yang menjejaskan negeri pengeluar beras di Semenanjung Malaysia.

"Kita bimbang sekarang fenomena El Nino dan sebagainya kalau melanda empat negeri tempat pengeluar padi iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis. Maka kita akan hadapi masalah.

"Langkah persediaan itu mesti kita buat di Sabah dan Sarawak. Jika banjir di sini, Sabah dan Sarawak tidak banjir.

"Ini langkah-langkah yang kita sedang buat dengan bekerjasama dengan semua kementerian yang lain terutama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 12:43 PM