Hutan Simpan Ulu Muda. FOTO Arkib NSTP
Hutan Simpan Ulu Muda. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Kerajaan negeri menganggap nilai pampasan pengekalan hutan yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Kedah adalah berjumlah sekurang-kurangnya RM100 juta setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu adalah selepas mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan serta kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan kelestarian alam semula jadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berharap bayaran berkenaan dibuat dalam bentuk pampasan fiskal dan bukan dalam bentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menzahirkan persetujuan Kerajaan Persekutuan memberikan pampasan kepada negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan.

"Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik sahaja, tetapi juga sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara.

"Ini kerana fungsi kawasan tadahan hutan simpan Kedah adalah bukan untuk pengairan kawasan penanaman padi negeri ini sahaja, malah untuk negeri jiran iaitu Pulau Pinang dan Perlis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Untuk rekod luas keseluruhan kawasan hutan Kedah adalah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keluasan keseluruhan negeri.

Muhammas Sanusi berkata, Kedah turut membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras nasional yang membantu Kerajaan Persekutuan menjimatkan kos import bahan makanan asas itu dari luar negara.

"Kawasan tadahan Kedah khususnya Hutan Simpan Hulu Muda seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang, di mana negeri itu mengabstrak 1,100 juta liter air sehari dari Sungai Muda.

"Berbanding rakyat Kedah sendiri hanya menggunakan 800 juta liter air sehari dari Sungai Muda, ini bermakna 80 peratus kegunaan air Pulau Pinang setiap hari adalah diabstrak daripada Sungai Muda.

"Namun, sehingga kini kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja tidak pernah membayar caj air, malah surat yang dihantar untuk rundingan perkara itu juga tidak pernah dijawab," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembayaran pampasan ini sudah ditunggu lama rakyat dan kerajaan dan kerajaan negeri yang selama ini perlu menanggung kos penyelenggaraan serta pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindunginya daripada sebarang kegiatan pembalakan haram.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian berkaitan akan mengkaji formula yang sesuai bagi menetapkan jumlah pampasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:14 AM