Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Usaha untuk meningkatkan hasil padi di Kedah bagi mengurangkan kebergantungan pada beras import akan lebih mudah jika pentadbiran kerajaan negeri itu adalah sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Memberi bayangan pilihan raya di enam negeri, termasuk Kedah akan diadakan pada Ogos, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyarankan rakyat Kedah untuk 'kalih (tukar) bagi sama' dalam pilihan raya negeri (PRN) itu nanti.

Beliau merujuk pada perbezaan pentadbiran antara Kedah yang kini ditadbir Perikatan Nasional (PN), dan Kerajaan Persekutuan yang ditadbir gabungan beberapa parti utama dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan.

"Hasrat Kedah dan hasrat Kerajaan Persekutuan (meningkatkan hasil padi) itu sama, jadi biarlah kita kalih bagi sama.

"Kalih bagi sama ini kena fahamlah... lagi dua bulan (PRN), kita kalih bagi sama, maka ia mudah lagi (untuk dilaksanakan)," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan menyokong Kerajaan Kedah meningkatkan pengeluaran padi di negeri itu dengan menaikkan subsidi baja, racun dan benih, serta meningkatkan harga padi.

Abd Ghani berkata, sokongan itu penting memandangkan Kedah adalah pengeluar utama padi di negara ini dengan 43 peratus daripada keseluruhan hasil padi negara.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan Kerajaan Persekutuan sememangnya berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), selain mempertimbang soal subsidi dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu menyarankan petani di Malaysia untuk mencontohi petani di Indonesia yang berjaya menghasilkan padi yang mencukupi kepada kira-kira 300 juta populasi negara itu, meskipun menerima jumlah subsidi yang sedikit.

"Di Indonesia, penanam padi dapat subsidi hanya satu peratus, tetapi petaninya berjaya menghasilkan padi hingga mencukupi untuk penduduk Indonesia berjumlah 300 juta. Berasnya cukup, kadar sara diri (SSR) cukup.

"Subsidi kita akan diteruskan, tapi kena mula berlaku perubahan dengan meneliti bahagian mana perlu diteruskan subsidi, yang mana perlu dikurangkan," katanya.

Mohamad turut menggesa pesawah padi untuk bersedia menggunakan teknologi moden bagi mengatasi isu kekurangan petani untuk mengerjakan sawah, selain menurunkan kos pengeluaran padi.

"Teliti juga pertanian pintar dengan teknologi moden untuk mengurangkan kos perbelanjaan sebab orang yang nak usahakan padi makin kurang.

"Tapi kalau diusahakan secara teknologi moden, empat hingga lima orang petani boleh usahakan 30 hingga 40 hektar sawah padi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 12:50 PM