MUHAMMAD Sanusi menyerahkan bakul makanan kepada wakil DUN di Kedah sempena  Deepavali selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi menyerahkan bakul makanan kepada wakil DUN di Kedah sempena Deepavali selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta kuota benih padi sah (BPS) hanya diberikan kepada pihak yang menguruskan sawah bagi menangani isu kekurangan bekalan BPS.

Katanya, pemberian kuota kepada syarikat swasta akan menyebabkan masalah sama terus berulang hingga ada yang berani menjual BPS pada harga lebih tinggi daripada harga subsidi.

"Sebab itu timbul masalah BPS, ada yang jual RM50, RM60, RM70, sedangkan harga subsidi RM45. Ini hal yang bersabit dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), saya sudah beritahu kepada mereka ini ialah kartel, kena perang dari atas sampai bawah.

"Saya bersuara banyak kali, cakap banyak kali, ulang benda sama, tindakan tak ambil, depa hentam Kedah, tak tahu bidang kuasa itu bawah kementerian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kuota BPS ketika ini hanya 27 peratus diberikan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), manakala 63 peratus lagi diberikan kepada syarikat tidak menguruskan sawah.

Katanya, agihan benih padi perlu dilakukan secara konsisten mengikut negeri berikutan jadual penanaman tidak sama.

"Kalau saya boleh bagi kuota benih, berselerak sudah benih itu dalam bendang, jangan bagi syarikat kilang yang tak ada sawah padi.

"Saya cakap lama, sudah tiga tahun, tapi mereka tak mahu dengar," katanya.

Beliau berkata perkara itu diharap dapat diselesaikan segera oleh kerajaan termasuk Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh agar pengagihan BPS lebih tersusun dan tidak berlaku kelewatan pengagihan kepada pesawah sehingga menyebabkan mereka menanggung beban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:12 PM