Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul

Alor Setar: Kedah tetap bertegas menuntut pampasan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang dan bukannya berbentuk sumbangan untuk memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri menetapkan bayaran 10 sen bagi setiap meter padu air, namun bersedia untuk berunding harga berkenaan dengan kerajaan Pulau Pinang.

"Kita nak bayaran (pampasan) bukan sumbangan, sumbangan ini ikut suka, sumbang berapa duit.. empat kupang (40 sen) lima kupang (50 sen).

"Kita nak bayaran yang kita letak satu meter padu 10 sen, orang Kedah kata sekupang kemudian boleh dirunding harga itu, mereka tak boleh bagi sumbangan, sumbangan ini nak bagi tak apa tak bagi tak apa, kita memang nak bayaran juga," katanya ketika ditemui di Dewan Sri Mentaloon di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laman sebuah portal pada 15 Disember lalu menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau menganggap kesediaan Pulau Pinang yang mahu berunding adalah suatu petanda positif.

"Mereka memberi maklum balas menerusi kenyataan akhbar sahaja bahawa sedia berunding dan kita anggap kenyataan itu kenyataan yang positif memulakan proses rundingan itu.

"Rundingan awal akan dimulai di peringkat pegawai-pegawai dulu khususnya melalui Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK)," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak kisah sama ada bayaran itu dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau kerajaan negeri itu, asalkan ia dibayar setiap tahun.

"Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengenakan caj air mentah kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak enam sen bagi setiap satu meter padu.

"Jadi dialah (Pulau Pinang) patut bayar (kepada Kedah). Kalau PBAPP nak bayar pun saya terima, siapa bayar tak kisah," katanya.

Kedah sebelum ini menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Tuntutan diutarakan Muhammad Sanusi itu memberitahu sudah banyak kali surat untuk meminta bayaran berkenaan dihantar kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 11:34 AM