BUNJAMIN (dua kanan) menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Rahayu dan Syamsul ketika menyantuni keluarga berkenaan di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kemaman. FOTO ihsan PERKESO
BUNJAMIN (dua kanan) menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Rahayu dan Syamsul ketika menyantuni keluarga berkenaan di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kemaman. FOTO ihsan PERKESO
Zaid Salim


Kemaman: Semua urusan dan persiapan perkahwinan sudah disediakan namun semuanya tinggal kenangan apabila anak yang bakal menjadi raja sehari pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Begitulah peritiswa pilu dilalui suami isteri Syamsul Yunus, 46, dan Rahayu Bakar, 44, serta dua anak mereka, Nur Ain Balqis, 19, dan Muhammad Afiq Amsyar, 5, selepas anak yang bakal mendirikan rumahtangga pada Oktober ini meninggal dunia akibat kemalangan, Sabtu lalu.

"Semua persiapan, hantaran dan pelamin sudah sedia (tempah) malah tarikh pun dah ada cuma arwah tidak memberitahu kami bila.

"Kini semuanya tinggal kenangan dan reda dengan ketentuan Allah. Allah lebih sayangkan dia dan mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku," kata Rahayu.

Anak sulongnya, Muhammad Alif Hafizzudin, 24, terbabit kemalangan ketika menghantar bakal tunangnya, Nur Ralifah Ilyana Azman, 21, pulang ke rumah keluarganya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun selepas membeli cincin pertunangan di Kerteh.

Kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT), dekat Kerteh meragut nyawa Muhammad Alif manakala Nur Ralifah Ilyana parah selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung MPV yang terbabas.

Rahayu ketika dihubungi berkata, kehilangan arwah sangat dirasai keluarga kerana sebelum pemergiannya arwah sempat singgah dan bertemu keluarga di rumahnya di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini.

Katanya, ketika berbual, arwah juga bertanya kepadanya mengenai namanya.

"Dia (arwah) secara tiba-tiba bertanya mengenai namanya yang dikatakan panjang dan terkedu kerana sebelum ini arwah tidak pernah mempertikaikan mengenai namanya.

"Arwah juga beriya-iya mahu mengadakan majlis pertunangan dan membeli cincin sedangkan majlis pertunangan sudah dilangsungkan bersekali dengan hari merisik sebelum ini," katanya.

Menurut Rahayu, majlis pertunangan itu sepatutnya dilangsungkan semalam selepas beberapa kali tertangguh.

"Arwah memilih untuk mengadakan majlis pertunangan pada 5 Mei lalu namun dibatalkan kerana ada saudara yang membuat majlis pada tarikh itu sebelum ditunda kepada semalam," katanya.

Dalam pada itu, Rahayu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana keprihatinan agensi berkenaan menyantuni mereka bagi menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat.

"Wang yang diterima secara bulanan sebanyak

RM783.10 ini akan saya guna sebaliknya untuk keluarga. Ia dapat membantu meringankan beban keluarga kami.

"Terima kasih arwah kerana bantu keluarga walaupun sudah tiada dan juga terima kasih Perkeso," katanya.

Majlis penyerahan faedah disampaikan Pengurus Perkeso Kemaman, Bunjamin Ahmad Almarzuki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 12:48 PM