Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Majlis pertunangan mereka bakal dilangsungkan 17 Disember nanti tapi arwah tidak begitu membuat persiapan kerana katanya takut nanti hanya jadi kenangan disebabkan sebelum ini pun dia pernah tak jadi bertunang dengan seseorang saat akhir."

Itu kata Nur Imanina Nasuha Nasua, 24, mengenai adiknya, Allahyarham Muhammad Nabil Zikry, 23, yang maut dalam kemalangan apabila motosikal dilanggar sebuah kereta di Kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala arah Perai, Bukit Mertajam, awal pagi semalam.

Seorang wanita dikenali sebagai Sabrina yang menaiki motosikal sama turut maut di lokasi kejadian dalam insiden itu.

Nur Imanina berkata, sebelum ini arwah adiknya yang mesra disapa Nabil pernah hampir bertunang dengan seseorang kira-kira empat tahun lalu namun jodoh tidak kesampaian apabila dibatalkan di saat akhir, justeru membuatkan adiknya itu khuatir situasi sama berulang.

"Walaupun majlis pertunangan Disember nanti, namun Sabrina sudah dirisik oleh keluarga kami. "Cincin untuk majlis pertunangan nanti pun sudah dibeli Nabil bersekali bersama cincin merisik malah ketika kemalangan itu pun arwah Sabrina sedang memakai cincin merisik berkenaan.

"Mungkin disebabkan majlis yang lalu membuatkan Nabil tidak begitu teruja membuat persiapan pertunangan selain takut ia menjadi kenangan sebagaimana dia pernah tak jadi bertunang dengan orang lain sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ahli keluarga teruja dengan persiapan pertunangan terutama ibunya yang menyediakan gubahan hantaran selain membeli baju persalinan sedangkan arwah tidak membeli apa-apa.

"Saya tanya Nabil minggu lalu kenapa tak persiapkan apa-apa lagi untuk majlis bertunang, namun Nabil menjawab yang dia takut majlis itu nanti tinggal kenangan, dia takut perkara yang pernah dilaluinya (tak jadi bertunang) kembali berulang," katanya.

Nur Imanina berkata, jarak usia setahun antara dia dan Nabil membuatkan mereka dua beradik rapat malah dia dan suami yang menyewa rumah di Tambun, di sini tinggal serumah bersama arwah yang bekerja di kedai pemasangan filem penapis haba (tinted) kenderaan di sini.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka hantaran termasuk yang diulang siar di akaun TikTok arwah adiknya yang banyak memaparkan mengenai kematian termasuk gambar kubur adalah petanda jelas adiknya akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

"Saya memang jarang tengok apa yang dia 'repost' (ulang siar) macam itu. Selepas kematiannya saya baru perasan mengenai itu, tetapi seminggu sebelum nahas memang dia ada juga 'post' di status WhatsApp berkaitan taubat sebelum mati dan seumpamanya.

"Tetapi ketika itu saya fikir mungkin dia sekadar hendak memperingatkan diri sendiri. Tak sangka pula yang itu petanda yang dia memang betul-betul hendak 'pergi'," katanya.

Katanya, nahas menimpa adiknya dan Sabrina kali ini juga dianggap mengulangi sejarah bapa mereka yang turut meninggal dunia pada 21 tahun lalu juga akibat kemalangan jalan raya selain waktu kejadian juga pada November sewaktu musim perayaan Deepavali.

"Ayah meninggal dunia pada 5 November 2002 akibat kemalangan bas yang dipandunya, sementara Nabil kali ini terbabit nahas motosikal pada 11 November (semalam) di mana menyaksikan kedua-duanya mengalami parah di kepala dan berlaku dalam musim perayaan Deepavali," katanya.

Katanya, jenazah sudah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 12:34 PM