Oleh Rudy Imran Shamsudin


Bukan mahu menyorokkan hubungan cinta yang terjalin di antara mereka tetapi segalanya dilakukan kerana mahu jaga kerjaya seni mereka.

Itulah alasan diberikan komposer muda, Ammar Habir, 26, apabila berita pertunangannya dengan penyanyi Sheila Abdull, 27, pada 20 Disember lalu mengejutkan ramai pihak.

Ammar akui mereka hampir setahun bercinta dan mengikut perancangan awal, mereka tidak mahu memikirkan soal kahwin. Keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mengganggu tumpuan kerja.

Apatah lagi pada waktu itu juga Sheila sibuk mempromosikan lagu terbarunya, Kata Hati yang dihasilkan Ammar dan lirik ditulis Habsah Hassan.

Ammar yang juga pemain gitar utama kumpulan Drama Band menjelaskan, mengikut perancangan awal dia dan Sheila mahu menemukan keluarga kedua-dua belah pihak sambil berkenal-kenalan.

“Selepas hampir setahun bercinta, saya berasakan sudah tiba masanya kami membawa hubungan terjalin ke peringkat seterusnya. Ia juga menjadi tanda bahawa saya benar-benar serius dengan hubungan kami.

“Bagaimanapun lain pula jadinya apabila perancangan untuk menemukan keluarga kedua belah pihak bertukar menjadi majlis pertunangan.

“Keluarga mahu kami bertunang dan kami akur dengan cadangan itu hingga majlis pertunangan dilangsungkan pada 20 Disember lalu,” katanya.

Kata Ammar, semuanya perancangan keluarga kedua pihak. Keluarganya tinggal di Kedah manakala ayah Sheila bekerja di pelantar minyak. Dua minggu di laut dan dua minggu di darat.

“Ketika itu kebetulan cuti sekolah. Memikirkan situasi itu, ahli keluarga kedua-dua belah pihak berasakan lebih baik pertemuan dua keluarga itu dijadikan majlis bertunang sekali.

“Pada saya, majlis yang dilangsungkan itu kena pada situasi dan waktunya. Jadi, tiada masalah,” katanya.

Mengikut perbincangan kedua-dua pihak sewaktu majlis berlangsung, mereka berkemungkinan bertunang selama setahun dan bakal bernikah pada Disember 2016.

“Mengikut perjanjian pertunangan itu, kami diikat hidup (tarikh tidak ditetapkan). Ikut perancangan, pernikahan dijadualkan akhir Disember atau lebih awal. Semuanya bergantung jika ayah Sheila dijadualkan menunaikan ibadat haji pada tahun hadapan,” katanya.

Jelas Ammar, dia kali pertama bertemu Sheila tiga tahun lalu apabila menjadi pemuzik undangan untuk mengiringi persembahan Sheila.

Selepas itu Ammar sering bertemu Sheila di studio Luncai Emas atas urusan kerja. Lama-kelamaan hubungan sebagai kawan menjadi cinta dan mereka mula serius setahun lalu.

Sheila pernah muncul dengan album Sheila Abdull pada 2008 bersama EMI (M) Sdn Bhd dan popular melalui single Mungkinkah.

Selepas itu Sheila terus senyap tanpa sebarang berita apabila syarikat rakaman EMI ditutup. Dia terumbang-ambing dan usahanya muncul dengan single kedua, Lepaskanlah juga tidak begitu menjadi.

Demi cintanya pada dunia nyanyian, Sheila kembali dengan single terbaru, Kata Hati. Dia berharap lagu ciptaan Ammar dan lirik Habsah Hassan itu dapat menaikkan semula namanya.

Kumpul wang untuk kahwin

Ammar yang bakal menghasilkan single terbaru penyanyi muda, Sarah Fazny dan Sandra, akui sebelum ini mengatakan susah untuk bertunang atau bernikah kerana wang belum mencukupi.

Katanya, dia selalu memikirkan soal kewangan kerana sedar soal duit memang sulit. Bagaimanapun kini dia percaya pada rezeki.

“Pada saya, apa yang kami lakukan ini perkara baik. Saya sudah menghitung, mana tahu Allah nak beri rezeki Drama Band muncul juara di Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) nanti.

“Ataupun mungkin kutipan pendapatan lagu yang saya hasilkan daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) tinggi, jadi duit yang dapat itu nanti boleh saya gunakan untuk dibuat belanja kahwin,” katanya.

Kata Ammar, sejak lagu didendangkan Drama Band, Biarkanlah popular, mereka mendapat banyak tawaran mengadakan persembahan.

Menilai daripada sudut itu, dia tidak risau mengenai soal wang belanja kahwin dan pendapatan diperoleh sudah mula diketepikan sedikit demi sedikit.

Kata Ammar, memang sebelum ini dia dan Sheila memikirkan faktor kerja dengan single Kata Hati baru dilancarkan membuatkan mereka berasakan payah untuk membuat keputusan bertunang dan bernikah.

“Begitupun, apabila kami mengatur untuk mengadakan pertemuan antara keluarga, keadaan berubah. Sepanjang bercinta, tak ada perkara yang boleh kami pegang untuk mengatakan hubungan ini akan ada pada masa depan.

“Berbeza apabila kami mengatur pertemuan keluarga, semuanya seakan bersetuju. Maksudnya kami sudah mendapat restu dan pada saya mahupun Sheila, perkara itu memberi bayangan bahawa 50 peratus hubungan kami sudah berada di tahap lebih baik.

“Pada tahap ini, kami sedar bukan setakat mahu seronok-seronok bercinta atau pun cinta monyet, malah kami mahu bina masa depan yang bahagia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:04 AM