Empangan Sungai Selangor. FOTO ARKIB NSTP
Empangan Sungai Selangor. FOTO ARKIB NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Ketujuh-tujuh empangan di Selangor berada pada kapasiti penuh 100 peratus setakat semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, tujuh empangan yang terletak di lima daerah di Selangor ini berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah negeri ini.

Katanya, empangan itu adalah Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi (Hulu Selangor); Empangan Tasik Subang (Petaling); Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih (Hulu Langat); Kolam Off River Storage Labu (Sepang); Empangan Klang Gates dan Empangan Batu (Gombak).

"Sehingga semalam, keseluruhan takungan bagi tujuh empangan ini berada pada kapasiti penuh 100 peratus.

"Berdasarkan trend penggunaan air di negeri secara keseluruhan, kapasiti air mentah mampu bertahan selama tempoh empat bulan tanpa hujan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, terdapat 98 kolam yang dikenal pasti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai sumber air alternatif, dan simpanan sumber air dalam kolam ini adalah sebanyak 34 juta meter padu.

Berhubung bantuan kepada jemaah haji Selangor, beliau berkata, kerajaan negeri akan menambah pemberian vaksin Pneumokokal kepada jemaah haji sebagai langkah tambahan untuk membantu jemaah haji Selangor susulan pengumuman Insentif Haji Muassasah 1444H / 2023M semalam.

"Pada 7 Mei lalu, sebanyak 1,500 dos disediakan secara percuma kepada jemaah haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,383 dos sudah disuntik dan baki 117 dos masih terdapat di Klinik Selcare Unisel.

"Vaksin ini diberikan di bawah Hari Vaksinasi Dunia Peringkat Negeri Selangor dan vaksin Pneumokokal adalah tambahan kepada Vaksin Meningokokal yang diwajibkan bagi jemaah," katanya.

Beliau berkata, memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan negeri akan menambah vaksin Pneumokokal warga emas jemaah haji Selangor kepada 2,000, iaitu peningkatan 500 dos yang akan diberikan secara percuma.

"Usaha ini diharapkan memastikan kesihatan jemaah yang akan menjalankan ibadah di Tanah Suci tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata, Selangor menerima permohonan untuk menambah guru KAFA bagi memastikan kualiti pengajaran kepada murid dapat dikekalkan, selain mengurangkan beban mereka.

"Sebanyak 656 guru KAFA akan dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun hingga tahun 2027, dan sebagai langkah awal, seramai 150 guru KAFA akan dilantik tahun ini.

"Bagi menampung peningkatan ini, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM14,550,211.20 selama lima tahun khusus bagi meningkatkan kapasiti serta keperluan guru KAFA di negeri Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:37 PM