GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Platform kesihatan digital Malaysia, Health Digital Technologies Sdn Bhd (DoctorOnCall) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) bagi memudahkan dan meningkatkan proses vaksinasi kesihatan dalam kalangan jemaah Malaysia yang merancang menunaikan ibadat haji atau umrah di Arab Saudi.

Platform itu akan disediakan kepada jemaah yang membuat rancangan melakukan ibadat haji atau umrah dengan mana-mana agensi pelancongan di bawah BUMITRA yang mengambil bahagian.

Fasa percubaan vaksinasi akan bermula bulan ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum permulaan fasa kedua pada akhir Julai yang akan meliputi seluruh negara.

Platform DoctorOnCall akan digunakan sebagai pangkalan data dalam talian bagi penyedia penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan vaksinasi di seluruh negara.

Penggunaan pangkalan data itu akan membantu jemaah haji mencari dan mengenal pasti klinik yang sesuai, bereputasi dan disahkan untuk melakukan vaksinasi.

Vaksinasi yang ditawarkan melalui DoctorOnCall meliputi vaksin untuk meningokokus, influenza dan Covid-19.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa jemaah haji Malaysia memasukkan vaksin pneumokokal sebagai sebahagian daripada inokulasi mereka untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan pneumokokal yang serius dan berpotensi membawa maut, DoctorOnCall memberi penekanan lebih besar kepada penyedia vaksin pneumokokal supaya memastikan lebih ramai jemaah akan mendapat akses.

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, dengan kebangkitan semula pelancongan berkaitan keagamaan ketika negara memasuki dunia pasca-pandemik, keadaan kesesakan di tempat ibadat tidak dapat dielakkan.

"Ini menjadikan jemaah haji lebih mudah dijangkiti penyakit berjangkit. Pemberian vaksinasi dengan vaksin yang diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi akan memberi keyakinan dan ketenangan fikiran bagi jemaah dalam melakukan ibadat mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai komorbiditi perubatan berisiko tinggi ketika terdedah kepada orang ramai.

"Platform DoctorOnCall akan menggalakkan pengambilan vaksin untuk jemaah haji yang lebih selamat dengan memudahkan proses vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, menggunakan platform itu, proses membuat temu janji mendapatkan vaksin dipermudahkan kerana jemaah haji tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan menunggu berjam-jam dalam barisan di kemudahan perubatan.

"Sebaliknya, mereka boleh menempah temu janji fizikal, mematuhi garis panduan vaksinasi dengan lebih baik untuk mengelakkan kesan sampingan berganda dan membantu mereka merancang melakukan vaksinasi semasa perjalanan haji mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, kesihatan dan keselamatan jemaah adalah teras dalam perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka secara berterusan menambah baik cara dan kaedah menjaga kesihatan jemaah haji sepanjang perjalanan ibadat mereka di Tanah Suci.

"Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan DoctorOnCall untuk memperluaskan perlindungan kesihatan melalui inokulasi dalam kalangan jemaah. Ketika menunaikan ibadah haji, kita sering bersentuhan dengan jemaah dari seluruh dunia yang mungkin tanpa disedari membawa penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

"Bersama DoctorOnCall, jemaah haji kami akan diperkasakan dengan bukan saja vaksinasi malah kesedaran dan pengetahuan lebih baik mengenai penyakit berjangkit dan seterusnya membantu lebih ramai jemaah Malaysia menjaga kesihatan dan memberikan mereka pengalaman ziarah tanpa bimbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 10:01 PM