KEADAAN Empangan Air Itam yang diramal bertahan untuk tempoh 40 hari dengan paras semasa 41.5 peratus. FOTO Mikail Ong.
KEADAAN Empangan Air Itam yang diramal bertahan untuk tempoh 40 hari dengan paras semasa 41.5 peratus. FOTO Mikail Ong.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekalan air di seluruh negara masih terkawal setakat hari ini, berikutan paras empangan dan sungai melebihi 90 peratus di kebanyakan negeri.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beberapa kawasan pada hujung rangkaian sistem bekalan air terkesan akibat situasi panas berpanjangan iaitu di Kelantan dan negeri utara.

"Bagi Perlis dan Kedah, paras empangan di kedua-dua negeri masih stabil dan terkawal manakala di Pulau Pinang, pengurangan paras empangan direkodkan di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Paras semasa Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk tempoh 40 hari dengan paras semasa 41.5 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang untuk tempoh 145 hari (48.4 peratus).

"Namun begitu, bekalan air kepada pengguna tidak terjejas dan bekalan masih disalurkan seperti biasa," kata Span.

Menurut Span, paras Empangan Mengkuang yang membekalkan sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua masih baik dengan LRA itu berupaya untuk membekalkan secara purata pengeluaran sebanyak 1,200 juta liter sehari (JLH).

"Ia bagi menampung keperluan anggaran 40 peratus agihan ke bahagian pulau dan baki selebihnya ke kawasan Seberang Perai," katanya.

Sementara itu, bagi perkhidmatan bekalan air untuk Wilayah Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya), keseluruhan tujuh empangan dan tiga sungai utama di Selangor merekodkan paras maksimum melebihi 90 peratus yang membolehkan kesemua 34 LRA dapat beroperasi dengan kapasiti normal.

"Sehingga semalam simpanan air mentah di Kolam Takungan Hilir (ORS) berada pada tahap tinggi dan kerajaan negeri akan terus memantau situasi tersebut dari masa ke masa," menurut kenyataan.

Untuk Wilayah Timur membabitkan Terengganu, Kelantan dan Pahang, semua empangan dan sungai berada pada paras stabil dan LRA beroperasi dengan kapasiti normal kecuali LRA Kelar (Kelantan) yang menurun disebabkan penyusutan sumber air mentah.

Keadaan sama direkodkan bagi Wilayah Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) dengan semua LRA beroperasi normal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 10:51 PM