Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Sejumlah 12 lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Hire 2.0 membabitkan kes tuntutan palsu berkaitan dana di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya), semalam.

Semua suspek berusia 29 sehingga 53 tahun itu ditahan secara serentak dalam operasi di seluruh negara.

Sehingga kini jumlah keseluruhan mereka yang diberkas adalah seramai 59 individu membabitkan 41 lelaki dan 18 wanita.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan beliau menjelaskan masih ramai akan dikesan selepas ini.

"Semua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk direman pagi ini," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan ratusan lagi syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes tuntutan palsu berkaitan dana di bawah PenjanaKerjaya.

Beliau sekali gus memberi kata dua kepada syarikat terbabit untuk tampil menyerah diri atau berdepan tindakan tegas.

Katanya, pihaknya tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan meneruskan operasi khususnya melalui Ops Hire untuk menahan semua yang terbabit.

Semalam, SPRM menahan reman 47 pengarah syarikat di beberapa negeri susulan kes tuntutan palsu dana PenjanaKerjaya melalui Ops Hire 2.0.

Di Shah Alam, SPRM mereman tiga individu daripada dua syarikat berbeza kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM1 juta.

Di Kuala Terengganu, tiga individu dari dua syarikat berbeza disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM250,000.

Di Kuantan, dua individu direman selepas disyaki mengemukakan maklumat pekerja mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira lebih RM4 juta kepada Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO).

Di Melaka, SPRM menahan reman seorang individu kerana disyaki mengemukakan senarai nama pekerja tidak wujud yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM250,000

Di Negeri Sembilan, SPRM mereman seorang jurutera elektrik berusia 30-an kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM70,000.

Di Putrajaya, lapan individu dari beberapa syarikat berbeza direman SPRM kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM24 juta.

Di Sabah, dua individu daripada dua syarikat berbeza direman kerana mengemukakan dokumen palsu iaitu 'Borang Pengesahan Pekerja' yang mengandungi senarai nama pekerja tidak wujud bagi menuntut dan mendapatkan peruntukan di bawah program PENJANA.

Di Sarawak, SPRM mereman lima individu kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM1.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 12:00 PM