GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Sumber berkata, kedua-dua suspek yang juga pemilik dan pengarah syarikat berusia 30-an serta 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

"Setakat ini seramai 42 orang sudah ditahan dalam Op Hire termasuk dua individu yang akan direman hari ini.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya kepada Harian Metro.

Jumaat lalu, ketua kerani kanan antara tiga lagi individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya.

Suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi program berkenaan.

Terdahulu, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM Negeri dijalankan secara serentak.

Program PenjanaKerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 2:36 PM