Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Dua pemilik syarikat direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (PENJANA) membabitkan nilai lebih RM400,000.

Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Sumber SPRM berkata, suspek masing-masing berusia 35 dan 62 tahun ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang.

Terdahulu, kedua-dua lelaki terbabit hadir dalam keadaan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM sebelum itu ditahan menerusi Op Hire 2.0 yang dijalankan di seluruh negara sejak semalam.

Ops Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dilakukan pengarah-pengarah syarikat menerusi program PENJANA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 12:10 PM