FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 47 pengarah syarikat sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara menerusi Op Hire 2.0.

Ops Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

Semua yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun adalah pengarah syarikat yang mengemukakan tuntutan kononnya sudah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Perkeso. Namun ia tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan.

Tangkapan ke atas 47 orang yang terdiri daripada 14 wanita dan 33 lelaki dilakukan SPRM sejak petang semalam.

Tuntutan palsu itu membabitkan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta

Op Hire 2.0 ini adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 yang lalu yang dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama Perkeso dan SPRM.

Semua 47 orang yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara pada hari ini untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan seksyen 471 Kanun Kesiksaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya

Dalam Op Hire 1.0 sebelum ini seramai 74 orang daripada 60 syarikat sudah ditahan dengan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta. 52 orang telah didakwa di Mahkamah.

Menurutnya, tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.

SPRM mengenalpasti ratusan syarikat lain yang telah membuat tuntutan palsu ini dan akan meneruskan operasi ini bagi menahan semua yang terlibat.

Justeru, beliau menggesa mana-mana syarikat yang terbabit untuk tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di mahkamah.

"Kita sudah kenalpasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terbabit. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terbabit.

"Saya memberi jaminan bahawa sesiapa yang terbabit untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan-tuntutan yang dibuat, tidak akan dituduh di Mahkamah. Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 10:08 AM