NGA Kor Ming beramah mesra bersama peniaga sempena lawatan kerja ke Johor di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NGA Kor Ming beramah mesra bersama peniaga sempena lawatan kerja ke Johor di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM23 juta bagi menaik taraf infrastruktur awam di negeri ini, tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada RM21.7 juta yang diluluskan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor, tahun ini.

"Peruntukan baharu RM23 juta yang diluluskan termasuk RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi penyelenggaraan dua lot niaga awam iaitu Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru.

"Ia bagi kerja menaik taraf unit gerai, tandas, bumbung, sistem perparitan termasuk memasang perangkap minyak, pemasangan sistem solar, kerja perpaipan, pendawaian baharu, menurap jalan dan tempat parkir kereta bagi keselesaan pengunjung.

"KPKT turut memperuntukkan RM8.5 juta kepada Johor bagi menyelenggara 28 kolam takungan air bagi memastikan air hujan yang turun tidak menyebabkan banjir kilat.

"Ia membabitkan 10 kolam takungan air (Muar ), Kota Tinggi (enam), Mersing (empat), Batu Pahat dan Kulai (dua) manakala Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pengerang pula masing-masing satu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Dalam lawatan kerja sehari ke Johor itu, Kor Ming turut dijadualkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada sebelah tegah hari bagi menyembah maklum mengenai kerja naik taraf infrastruktur awam di negeri ini.

Beliau turut akan menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kota Tinggi membabitkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pada sebelah petang, yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit di negeri ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT turut meluluskan sebanyak RM13.3 juta kepada 16 PBT Johor bagi melaksanakan 35 projek naik taraf pelbagai kemudahan awam.

"Peruntukan yang disalurkan berlandaskan pelaksanaan atau 'performance based budget' bagi mengelakkan ketirisan dana awam

"Penyaluran peruntukan juga diagih mengikut keperluan menerusi inisiatif sentuhan kasih KPKT dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 12:55 PM