KAPASITI empangan Air Itam berada pada paras rendah. FOTO arkib NSTP
KAPASITI empangan Air Itam berada pada paras rendah. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diarahkan untuk menyusun semula pelan tindakan bagi memastikan rizab empangan Air Itam yang semakin berkurangan dapat bertahan 120 hari sehingga musim hujan yang dijangkakan pada September ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau percaya PBAPP mampu melaksanakannya berikutan pencapaian yang amat baik ditunjukkan oleh agensi pengurusan air negeri itu.

Menurutnya, kapasiti empangan Air Itam menurun 41.4 peratus dalam tempoh 129 hari daripada 1 Januari hingga 9 Mei lalu.

"Mengikut kepada kapasiti ini, bekalan air berpotensi bertahan selama 120 hari lagi sehingga musim hujan yang dijangka pada September ini.

"Selasa lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengumumkan bahawa musim monsun barat daya yang lebih kering akan bermula pertengahan bulan ini.

"Bagaimanapun, pada 5 Mei lalu, METMalaysia juga menyiarkan kenyataan di Facebook (FB) agensi itu yang menyatakan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara mungkin menerima antara 50 milimiter (mm) dan 300mm hujan pada Jun ini yang diharapkan ia turun di kawasan tadahan Air Itam," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PBAPP sudah melakukan tugas yang baik dalam mengurangkan kawasan liputan bekalan empangan Air Itam merangkumi 6,000 pengguna air.

"Ini bermakna untuk bulan ini hanya 6,000 pengguna bergantung kepada air terawat yang dihasilkan di Air Itam berbanding 28,948 pengguna sebelum ini.

"Penyesuaian ini dilakukan melalui pengepaman strategik lebih banyak air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk sampai kepada pengguna yang tinggal di kawasan sekitar Air Itam.

"Dengan cara ini, PBAPP meminimumkan pelepasan harian dari empangan Air Itam dengan ketara," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PBAPP turut melaksanakan langkah kejuruteraan kawalan cuaca kering lain untuk meminimumkan pelepasan empangan Air Itam yang ia dilakukan secara beransur-ansur.

"PBAPP mempunyai pilihan untuk terus mengetatkan langkah ini namun pengenaan kawalan yang lebih ketat mungkin menjejaskan perkhidmatan air yang akan menyulitkan orang ramai termasuk perniagaan.

"Oleh itu, hanya langkah kawalan saja dilaksanakan yang sekiranya langkah ketat terpaksa dilakukan perkara ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dengan lebih awal," katanya.

Terdahulu, media melaporkan simpanan air empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala empangan Teluk Bahang pula 146 hari, susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Semalam, Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri dalam proses memohon supaya pembenihan awan gelombang kedua dapat dilakukan sehingga dua empangan berkenaan mencapai kadar air sebanyak 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 12:27 PM