Empangan Air Itam.
Empangan Air Itam.
BERNAMA

Georgetown: Paras takungan air di Empangan Air Itam di sini mencecah tahap ketiga kritikal dengan bacaan 30.8 peratus hari ini dan mampu bertahan hingga 30 hari saja lagi jika masih tiada hujan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sepanjang April ini, empangan itu hanya menerima hujan sebanyak 22.5 milimeter (mm) saja berbanding sepatutnya 300mm sebulan.

"Hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tidak membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam yang kini mencatat tahap ketiga kritikal kerana hujan tidak turun di kawasan tadahan air itu.

"Paras empangan itu juga semakin menurun berbanding minggu lepas iaitu 32 peratus kerana air diekstrak pada minggu ini bagi menampung permintaan pengguna yang tinggi kerana musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sudah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024, yang membabitkan empat langkah termasuk meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) daripada 75 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH bagi mengekalkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam.

Ditanya mengenai pembenihan awan, beliau berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk melaksanakan alternatif itu berikutan Pulau Pinang masih menerima hujan sejak beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 32.4 peratus pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 5:02 PM