GAMBAR pertemuan Anwar dengan Nik Abduh yang tersebar.
GAMBAR pertemuan Anwar dengan Nik Abduh yang tersebar.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah atas semangat untuk memastikan legasi Allahyarham dapat diteruskan.

Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, yang turut hadir pada pertemuan yang berlangsung semalam itu berkata, Anwar turut bertanya khabar kepada Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar.

"Pertemuan antara Perdana Menteri dengan dua anak Tok Guru Nik Abdul Aziz iaitu Nik Omar dan Nik Mohamad Abduh adalah atas semangat untuk memastikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz dapat diteruskan dalam banyak aspek, terutama dalam dua aspek besar iaitu Pendidikan Islam dan politik yang berasaskan kemanusiaan dan persaudaraan.

"Dalam pada itu, Perdana Menteri bertanya khabar berkenaan perkembangan terkini berkenaan dua anak Tok Guru ini.

"Perdana Menteri ada menyebut berkenaan semangat persaudaraan antara beliau dengan ramai teman-teman lama beliau, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya menerusi WhatsApp.

Ditanya sama ada pertemuan itu turut membangkitkan isu politik, Wan Ji mengiyakan perkara itu.

"Ada, terutama berkisar dalam isu Kerajaan Perpaduan dan hubungan persaudaraan yang Perdana Menteri berharap sangat ia berlaku antara beliau dan Presiden PAS.

"Selain sikap PAS dalam menanggapi isu-isu yang dibangkitkan agar tidak mengagalkan usaha membina negara," katanya.

Terdahulu, gambar pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nik Mohamad Abduh ketika lawatan perdana menteri ke Kelantan, semalam mencetuskan tanda tanya.

Pertemuan itu turut dihadiri abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 5:41 PM