Nik Omar (dua kanan) bersama calon-calon PKR Shah Alam, Khalid Abdul Samad (kanan) dan calon Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) serta calon Kota Anggerik, Mohd Najwan Hilmi (dua kiri) mengangkat tangan selepas berucap pada majlis Grand Hi Tea di Seksyen 8, Shah Alam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Nik Omar (dua kanan) bersama calon-calon PKR Shah Alam, Khalid Abdul Samad (kanan) dan calon Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) serta calon Kota Anggerik, Mohd Najwan Hilmi (dua kiri) mengangkat tangan selepas berucap pada majlis Grand Hi Tea di Seksyen 8, Shah Alam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Khairul Azran Hussin

CALON PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz enggan memberi kata putus sama ada beliau akan meneruskan agenda hudud selepas keluar PAS menyertai pakatan pembangkang.

Beliau sebaliknya berkata, agenda hudud yang diperjuangkan arwah bapanya itu sejak 20 tahun lalu hanya akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Kita tengok selepas ini (PRU-14) macam mana, kita tengok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program anjuran PKR Shah Alam di Shah Alam, hari ini.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat konsisten memperjuangkan hudud sepanjang bersama PAS.

Sebelum ini, PAS memutuskan kerjasama politik atau tahalluf siyasi bersama DAP disebabkan tindakan DAP yang tidak menghormati dasar perjuangan PAS.

DAP juga agresif menentang hudud, termasuk membantah sebahagian agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS seperti usul meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355 ).

Dalam pada itu, Nik Omar berkata, tidak timbul parti mana yang mendokong perjuangan Islam kerana PRU-14 ialah peluang kepada rakyat untuk memilih parti mana yang mampu membawa negara ke arah lebih baik.

“PRU ni bukan tempat kita pilih untuk masuk agama apa, sebaliknya memilih pasukan mana yang kita yakin. Kalau tanya saya, saya yakin kepada pakatan.

“Tidak semestinya kita perlu meletak agenda Islam dalam manifesto kerana yang penting usaha ke arah ini (memartabatkan Islam) selalu dibuat.

“Tidak timbul juga isu khianat perjuangan tok guru (arwah Nik Abdul Aziz). Saya yakin perjuangan saya bawa ialah apa yang tok guru mahukan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan salah seorang hadirin sama ada ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, merestui keputusan keluar PAS, Nik Omar berkata, isu itu tidak perlu timbul kerana beliau bukan melakukan perkara jahat.

“Tiada anak yang tidak sayangkan mak, tiada mak yang tidak sayangkan anak. Sedangkan anak yang hisap dadah pun mak maafkan.

“Sebagaimana saya doakan kejayaan adik saya (calon PAS Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh), saya doakan kejayaan sepupu saya (calon PAS DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani) dan calon PKR DUN Kota Anggerik (Najwan Halimi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 8:14 PM