GAMBAR Anwar bersama Nik Mohamad Abduh yang tersebar.
GAMBAR Anwar bersama Nik Mohamad Abduh yang tersebar.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan semalam mencetuskan tanda tanya apabila tersebar pertemuannya dengan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Pertemuan yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana itu turut dihadiri abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pertemuan itu mula tersebar sejak malam tadi selepas gambar dimuat naik oleh pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang turut hadir pada perjumpaan itu.

Umum mengetahui hubungan Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar tidak sehaluan dalam berpolitik apabila memilih jalan dan parti yang saling bertentangan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu, Pas menggugurkan Nik Mohamad Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Omar membuat kemunculan di pentas politik dengan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU-15.

Susulan pertemuan itu, ramai yang membuat spekulasi Nik Mohamad Abduh mahu bersama PH susulan namanya digugurkan pada PRU-15.

Terdahulu, Wan Ji memuat naik dua keping gambar sambil berkata 'InsyaAllah, legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sentiasa di hati Perdana Menteri Malaysia'.

Menerusi hantaran lain pula, Wan Ji memaklumkan, walaupun ada pihak berusaha mahu matikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz, pasti akan ada pihak berusaha mengangkat legasi itu.

"Ramai wartawan hubungi, tapi saya ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Petang ini, ada berjumpa dengan seorang ulama hadis hebat pula," katanya menerusi Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 3:57 PM