Datuk Seri Takiyuddin Hassan ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontijen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Datuk Seri Takiyuddin Hassan ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontijen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih lagi ahli Pas.

Menurutnya, spekulasi bekas Ahli Parlimen Bachok yang mahu bersama Pakatan Harapan (PH) adalah tidak betul.

"Tidak ada ura-ura mengenai perkara berkenaan.

"Siapa yang buat tuduhan, buktikan kerana bagi kita tidak ada asas," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini menjadi tanda tanya apabila tersebar gambar pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Ahli Parlimen Bachok itu.

Pertemuan yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana ketika Anwar mengadakan lawatan kerja ke Kelantan baru-baru ini.

Ia turut dihadiri abang kepada Nik Abduh iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, Pas menggugurkan Nik Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Omar pula membuat kemunculan di pentas politik dengan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15.

Susulan pertemuan mereka itu, ramai yang membuat spekulasi bahawa Nik Abduh bakal menyertai PH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 4:37 PM