BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab atas kerugian ditanggung negara akibat rasuah.

Beliau berkata selain SPRM, agensi lain yang diarahkan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil apa saja langkah, mengikut jalur perundangan untuk bertindak.

"Kita kena suarakan (rasuah) tetapi saya tidak boleh berikan petunjuk satu persatu melainkan arahan umum kerana ada orang-orang diketahui, rasuah berbilion... Dah puluh tahun tapi selamat, tidak berani disentuh (sesiapa).

"Apa erti negara, kekuatan undang-undang kalau kita minta polis, LHDN, ambil tindakan di bawah tapi yang di atas itu terlepas dan kumpulan harta itu puluh-puluh bilion ringgit. Itu sebab maka saya bagi arahan umum dan saya harap rakyat tak kira parti, tak kira kaum bagi sokongan terhadap tindakan ini," katanya selepas menghadiri program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan khusus bagi mencari pihak terlibat kes rasuah berikutan statistik dikeluarkan EMIR Research iaitu Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

ANWAR Ibrahim hadir di Majlis Aidilfitri Malaysia MADANI. FOTO Eizairi Shamsudin
ANWAR Ibrahim hadir di Majlis Aidilfitri Malaysia MADANI. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:28 PM