MOHAMAD Asfia bersama Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang (kiri) dan Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom (kanan) ketika sidang media. FOTO Mohd Roji Kawi
MOHAMAD Asfia bersama Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang (kiri) dan Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom (kanan) ketika sidang media. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiga rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang bersidang bermula pada 15 Mei hingga 24 Mei ini.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, tiga RUU terbabit ialah Perbekalan Tambahan (2022) 2023 dan Perbekalan Tambahan (2023) 2023 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, satu lagi RUU ialah Majlis Kraf Sarawak 2023 yang akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

"Bacaan kali pertama RUU itu akan dibuat pada hari kedua persidangan iaitu pada Selasa, 16 Mei.

"Bagi RUU Majlis Kraf Sarawak 2023 bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada16 Mei manakala dua RUU Perbekalan Tambahan pula, bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada 18 Mei," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pra persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Mohamad Asfia berkata, persidangan DUN Sarawak bermula dengan upacara perasmian oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 15 Mei.

Beliau berkata, DUN Sarawak menerima sebanyak 375 soalan lisan dan bertulis daripada 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 305 adalah soalan lisan yang diterima daripada 42 ADUN manakala 70 lagi soalan bertulis yang diterima daripada 18 ADUN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:15 PM