ASFIA Awang Nassar pada sidang media mengenai Persidangan DUN Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
ASFIA Awang Nassar pada sidang media mengenai Persidangan DUN Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penggunaan nama baharu bagi menggantikan terminologi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan dibuat jika mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar berkata, beliau akan mengemukakan cadangan kepada cabang eksekutif kerajaan Sarawak untuk menggugurkan perkataan 'negeri' di dalam terminologi Dewan Undangan Negeri kerana di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak dirujuk sebagai wilayah.

Justeru katanya, memang ada keperluan untuk menukar istilah DUN yang digunakan sejak 1976 kepada Dewan Undangan Sarawak.

"DUN Sarawak adalah yang tertua di Malaysia kerana ia ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu dan dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council) manakala pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak namun kemudian ditukar kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 1976.

"DUN Sarawak juga yang terbesar dengan mempunyai 82 ahli berbanding dengan ahli wakil rakyat lain di Malaysia dan juga meluluskan belanjawan terbesar di Malaysia iaitu RM11 bilion (Bajet 2024)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam hantaran di Facebook baru-baru ini berkata, DUN Sarawak kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak selaras dengan statusnya sebagai wilayah.

Mengulas lanjut, Mohd Asfia berkata, apabila diiktiraf sebagai wilayah, status Sarawak kini tidak lagi sama dengan negeri-negeri di dalam Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, untuk persidangan yang akan bermula Isnin ini katanya, media khususnya boleh memilih untuk terus menggunakan istilah DUN Sarawak atau Dewan Undangan Sarawak.

"Kita akan mengemukakan cadangan kepada cabang eksekutif kerajaan Sarawak untuk menukar istilah baharu itu," katanya.

Sementara itu mengenai Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Sarawak Ke-19 yang akan diadakan selama lapan hari bermula Isnin ini hingga 15 Mei, Mohd Asfia berkata, ia akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar buat julung kali.

Menurutnya, sebanyak lima rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024; RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024; RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024; RUU Penjagaan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024 dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.

Sementara itu, persidangan kali ini menyaksikan pembangkang hanya mempunyai dua wakil di DUN Sarawak manakala seorang lagi wakil Bebas.

Ia susulan tiga bekas wakil Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Baru Bian (Ba'kelalan) dan Dr Johnicol Rayong Ngipa (Emgkelili) menyertai komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP) selepas PSB dibubarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 2:46 PM