ABANG Johari tiba di Kompleks DUN Sarawak untuk menghadiri persidangan sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. FOTO Ihsan UKAS
ABANG Johari tiba di Kompleks DUN Sarawak untuk menghadiri persidangan sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. FOTO Ihsan UKAS
Mohd Roji Kawi

DUA Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan sebulat suara pada persidangan sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan RUU Perbekalan Tambahan (2020), 2020 disokong ahli DUN selepas dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 membabitkan peruntukan berjumlah RM299.171.014 dan RUU Perbekalan Tambahan (2020) 2020 pula berjumlah RM382,320,763.

Uggah berkata, perbelanjaan tambahan itu adalah untuk menampung kos pelbagai Kementerian dan jabatan yang tidak disediakan atau dana tidak mencukupi.

Dua RUU itu diluluskan tanpa dibahaskan oleh 76 daripada 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan itu.

Lima lagi ADUN tidak hadir persidangan hari ini iaitu Dr Annuar Rapaee (GPS-Nangka), Datuk Seri Wong Soon Koh (PSB- Bawang Assan) , Datuk Ranum Mina (PSB-Opar), Johnical Rayong Ngipa (PSB-Engkilili) dan Datuk Tiong Thai King (PSB-Dudong).

Sementara itu, ketika berucap mengenai perkembangan semasa Covid-19 pada persidangan itu, Uggah membidas tindakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh, yang mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri membiayai program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Beliau berkata, Soon Koh, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Kedua Sarawak selama 15 tahun sebelum meletak jawatan pada 15 Julai tahun lalu, tidak peka dengan sistem kewangan negeri yang pernah disokongnya.

"Saya sukar untuk mempercayai bahawa Yang Berhormat Bawang Assan (Soon Koh) memilih untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa tidak ada peruntukan rizab luar jangka dalam Bajet 2020," katanya.

Baru-baru ini, ketika mempersoalkan program BKSS, Soon Koh mendakwa tidak ada dana luar jangka diluluskan untuk tahun 2020.

Mengulas lanjut, Uggah menjelaskan keseluruhan peruntukan bagi program BKSS1, BKKS2 dan BKSS3 adalah berjumlah RM2.55 bilion.

"Sumber peruntukan untuk tiga BKSS itu adalah daripada Dana Luar Jangka, Bajet Pembangunan 2020 (Skim Kredit Mikro), simpanan dari projek-projek yang tidak dilaksanakan dan simpanan dari Akaun Dana Pembangunan, serta dana RM1 bilion dari Bank Negara (Dana Bantuan Khas)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 3:22 PM