GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki yang disyaki melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang tular di media sosial, ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Jalan Kampung Rampangi, di sini, kira-kira 7 malam.

Beliau berkata, kira-kira jam 4 petang semalam, polis mengesan satu video berdurasi 21 saat yang dimuatnaik satu akaun Twitter memaparkan kejadian individu melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita.

"Polis turut menerima laporan yang dibuat oleh wanita berusia 26 tahun berhubung kejadian itu semalam.

"Berikutan penahanan suspek, polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes jenayah narkotik dan jenayah harta benda.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai kad rawatan pakar psikiatri Hospital Umum Sarawak dan masih menjalani rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1957.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berikutan kes itu tular di media sosial katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih dalam siasatan polis.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak untuk arahan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 6:06 PM