GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis menahan dua lelaki susulan kematian remaja lelaki ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, mangsa yang berusia 18 tahun itu parah selepas dipercayai dipukul di pusat komersil di Jalan Tun Jugah, di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian menerima rawatan di HUS dan polis menerima laporan berhubung kejadian itu, 1 pagi, semalam.

"Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.

"Kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh apabila mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Merbin berkata, kejadian itu dipercayai berpunca hubungan intim anak perempuan seorang daripada suspek dengan mangsa.

Menurutnya, dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:00 PM