Nik Md Zain (kanan) menerima dokumen sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah yang baharu dengan disaksikan Jauteh pada majlis berkenaan. Foto Juwan Riduan
Nik Md Zain (kanan) menerima dokumen sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah yang baharu dengan disaksikan Jauteh pada majlis berkenaan. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pengusaha sektor pelancongan di Sabah diminta memastikan pekerja mereka menjaga tingkah laku agar tidak terbabit dengan perlakuan yang mengundang siasatan jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, pengusaha juga perlu mengingatkan pekerja agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelancongan yang ditetapkan negara,

"Pelancong yang datang ke negeri ini semakin meningkat, sebab ada keyakinan bahawa Sabah adalah tempat yang selamat.

"Jadi sentiasalah pantau pekerja dan ambil pendekatan memberi nasihat dan peringatan untuk memastikan pekerja menjaga tingkah laku agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak sewajarnya," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan dibuat pelancong wanita warga China yang mendakwa dicabul pembantu jurulatih selam skuba di Semporna.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan dan lelaki berkenaan sudah ditahan Sabtu lalu untuk siasatan mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas empat Jawatan Ketua Jabatan PDRM Kontinjen Sabah di Auditorium IPK Sabah di sini

Mereka ialah Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim yang dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah; SAC Nik Md Zain Nik Omar sebagai Ketua Jabatan Pengurusan; Asisten Komisioner Datin Laila Sagir (Ketua Jabatan Logistik & Teknologi) dan Deputi Superintendan Iyda Ismail (Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 4:19 PM