KEADAAN resort di Pulau Mabul lengang menyebabkan industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi utama terus lumpuh. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN resort di Pulau Mabul lengang menyebabkan industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi utama terus lumpuh. FOTO Aswadi Alias
Aswadi Alias

Semporna: Sebut saja Pulau Mabul pasti terbayang kejernihan air dan keindahan pantai yang pasti memukau pelancong dalam serta luar negara.

Terletak di pantai timur Sabah berhampiran Semporna, pulau itu terkenal sebagai pulau 'wajib kunjung' oleh peminat sukan selam.

Penulis sempat merasai keindahan pulau yang mengambil masa 45 minit perjalanan dari jeti Bandar Semporna mengguna bot laju baru-baru ini dalam misi menyantuni asnaf di Sabah anjuran Muslim Care Malaysia (Muslim Care).

Sebelum Covid-19 'menjengah' Sabah, Pulau Mabul yang dihuni lebih 3,500 penduduk itu pasti akan dipenuhi pelancong yang mahu merasai pengalaman menyelam di kepulauan berkenaan.

Namun kini semuanya seakan-akan samar apabila Pulau Mabul lengang menyebabkan industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi utama terus lumpuh.

Bagi penduduk, Anuar Azman, 31, sebelum penularan Covid-19, pelancong khususnya dari Jepun, China, Korea dan Timur Tengah pasti memenuhi resort dan chalet sekitar pulau.

Menurutnya, pelancongan menjadi mata pencarian utama penduduk yang kebanyakan pekerja sebagai pemandu pelancong, kakitangan resort dan jurulatih skuba.

MASYARAKAT Bajau Laut atau Pala’u di Pulau Mabul masih tinggal di perahu dan tinggal secara nomad. FOTO Arkib NSTP
MASYARAKAT Bajau Laut atau Pala’u di Pulau Mabul masih tinggal di perahu dan tinggal secara nomad. FOTO Arkib NSTP

"Saya yang menjual burger sebagai mata pencarian utama turut terjejas selepas Pulau Mabul kosong tanpa pelancong sejak beberapa bulan lalu.

"Walaupun ada pelancong tempatan, kehadiran mereka tidak serancak pelancong luar negara dan ini menjejaskan mata pencarian penduduk dengan mendadak selepas banyak resort terpaksa ditutup dan mengecilkan operasi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, beliau juga kini bekerja sebagai nelayan pantai demi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan walaupun terpaksa berjimat cermat.

Beliau berkata, besar harapannya supaya Pulau Mabul tidak terus sunyi dan kembali meriah seperti sebelum ini dengan kedatangan pelancong.

"Pelancongan adalah nadi utama Pulau Mabul dan ia diharap dapat dirancakkan kembali agar masyarat setempat tidak terus terkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:20 AM