MENYELAM secara berkumpulan lebih menghiburkan.
MENYELAM secara berkumpulan lebih menghiburkan.
Hafiz Ithnin


Bagi mereka yang gemarkan aktiviti air, selam skuba bukan perkara baru kerana ia antara pengalaman sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tatkala berada dalam dunia marin.

Apatah lagi, aktiviti selam skuba di Malaysia juga cukup terkenal di persada dunia memandangkan kita mempunyai lokasi menyelam yang menarik dan pelbagai terutama di kawasan timur Semenanjung serta Sabah.

Malah, tidak dinafikan ada pelancong datang ke Malaysia hanya untuk melakukan aktiviti selam skuba kerana bagi mereka lokasi menyelam di negara ini ibarat 'syurga' yang tiada di negara lain.

Kebanyakan pulau peranginan tempatan juga mempunyai perkhidmatan kelas latihan untuk membolehkan orang ramai yang berminat dalam aktiviti ini mendapatkan lesen menyelam yang diiktiraf pelbagai badan antarabangsa tertentu seperti Professional Associations of Diving Instructors (PADI), Scuba Diving International (SDI) dan Scuba Schools International (SSI).

Ini kerana menyelam skuba antara aktiviti yang berisiko dan memerlukan kemahiran tinggi.

PENYELAM berpeluang melihat kepelbagaian saiz terumbu karang ketika menyelam.
PENYELAM berpeluang melihat kepelbagaian saiz terumbu karang ketika menyelam.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam menyelam skuba, anda digalakkan menyertai aktiviti ‘discovering scuba dive’ (DSD) terlebih dulu iaitu menyelam pada kedalaman maksimum enam meter saja, ditemani seorang ‘divemaster’ atau DM, mempelajari isyarat komunikasi khusus asas menyelam dan kemahiran asas.

Untuk mencuba pengalaman baru ini, anda tidak memerlukan lesen memandangkan aktiviti ini diadakan bagi memberi pendedahan peringkat awal saja.

Di peringkat DSD, setiap penyelam akan dapat mengetahui sama ada mereka bersedia menjadi seorang penyelam skuba atau sebaliknya kerana di peringkat ini ada aktiviti yang menguji keyakinan individu kepada kedalaman.

PAKAIAN menyelam penting untuk keselesaan ketika menyelam.
PAKAIAN menyelam penting untuk keselesaan ketika menyelam.

Jika individu itu sudah mempunyai keyakinan kepada kedalaman air dan ingin meneruskan ke peringkat kedalaman seterusnya, mereka perlu mengambil lesen laut lepas (open water).

Lesen ini membolehkan penyelam skuba rekreasi menyelam hingga maksimum 18 meter dan ditemani jurulatih dan dibantu DM. Pada peringkat ini, bakal penyelam skuba perlu mengikuti kelas teori dan praktikal bagi melayakkan mereka mendapat lesen berkenaan.

Harga yang ditawarkan bermula RM1,000 seorang dan bergantung kepada kemudahan disediakan operator kepada pelajar penyelam skuba. Sekiranya, penyelam berjaya mendapatkan lesen ‘open water’ mereka juga boleh mendapatkan lesen untuk ke peringkat ke dalaman seterusnya yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.

KEUNIKAN hidupan marin yang sukar ditemui menjadi faktor keseronokan menyelam skuba.
KEUNIKAN hidupan marin yang sukar ditemui menjadi faktor keseronokan menyelam skuba.

Antara peringkat selepas ‘open water’ ialah ‘adventure diver,’ ‘advanced open water diver,’ ‘rescue diver,’ ‘master skuba diver’ hingga tertinggi sekali ialah ‘course director.’

Menariknya untuk mendapatkan lesen pada setiap peringkat, penyelam akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran yang berbeza seperti membaca kompas menunjuk arah, menyelam pada waktu malam dan menjadi penyelamat sekiranya berlaku sebarang insiden ketika menyelam.

 PERANTI hos ‘flator’ yang mempunyai sistem kawalan udara untuk menyelam.
PERANTI hos ‘flator’ yang mempunyai sistem kawalan udara untuk menyelam.

Bagi aktiviti selam skuba secara rekreasi tahap kedalaman hanya antara 30 hingga 40 meter berbanding menyelam skuba dalam segmen komersial yang jauh lebih dalam.

Aktiviti selam skuba di Malaysia sememangnya mempunyai pengikutnya tersendiri kerana boleh dikatakan terdapat pulau tertentu dalam negara yang sentiasa dipenuhi golongan berkenaan.

Tidak ketinggalan, kemudahan untuk mengikuti kelas bagi mendapatkan lesen selam skuba rekreasi juga banyak disediakan termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi membolehkan lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti ini di peringkat awal lagi.

PENYU liar yang hidup di dalam laut sentiasa menarik perhatian penyelam.
PENYU liar yang hidup di dalam laut sentiasa menarik perhatian penyelam.

Lebih membanggakan, aktiviti ini boleh disertai pelbagai lapisan usia untuk menguasai teknik menyelam yang sudah ditetapkan badan profesional tertentu.

Jadi tidak mustahil jika dapat dilihat golongan suri rumah atau mereka yang sudah pencen menjadikannya sebagai aktiviti mengisi waktu senggang ketika bercuti bersama keluarga.

Hakikatnya, berada di dalam laut dalam sambil melihat hidupan marin di sekeliling sememangnya menjanjikan pengalaman yang menarik dan menenangkan.

Paling utama, sekiranya anda menjadi salah seorang penyelam skuba, pasti secara tidak langsung lebih menghargai khazanah alam itu dan tidak ingin ia pupus kerana pencemaran. Jadi apa tunggu lagi, jom menyelam!

ANTARA hidupan unik di dasar laut ditemui penyelam skuba.
ANTARA hidupan unik di dasar laut ditemui penyelam skuba.

10 lokasi aktiviti menyelam di Malaysia:

1. Pulau Sipadan (Sabah)

2. Pulau Lankayan (Sabah)

3. Pulau Layang-layang (Labuan)

4. Pulau Redang (Terengganu).

5. Pulau Tioman (Pahang)

6. Pulau Tenggol (Terengganu)

7. Pulau Perhentian (Terengganu)

8. Pulau Payar (Kedah).

9. Pulau Kapas (Terengganu)

10. Pulau Mengalum (Sabah)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 1:34 PM