Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Puluhan warga asing bertempiaran lari bagi mengelak daripada ditahan dalam serbuan ke atas satu perumahan setinggan terletak di sebuah bukit dekat Segambut Dalam, di sini awal pagi tadi.

Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia bertindak nekad terjun dari tebing setinggi tiga meter bagi menyelamatkan diri dari ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, dalam operasi jam 2 pagi itu.

Lelaki berusia 50-an yang hanya berkain pelikat itu meronta-ronta kesakitan akibat patah kaki kanan dan terpaksa diusung keluar dari tebing berkenaan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas gagal meloloskan diri.

Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati, perumahan setinggan itu dibina di sepanjang bukit yang mana setiap kediaman berada terlalu rapat antara satu sama lain dan berada dalam keadaan kotor.

Dikelilingi kawasan perumahan elit dan terletak tidak jauh dari ibu kota, kawasan itu dianggarkan mempunyai lebih daripada 100 rumah papan yang didiami warga asing serta warga tempatan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 97 warga asing diperiksa dan 78 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 42 lelaki, 25 wanita, dan enam kanak-kanak warga Indonesia serta lima lelaki warga Bangladesh

"Kesemua individu ditahan berusia lingkungan dua hingga 56 tahun…warga asing paling lama dikesan tinggal di sini sejak lima tahun lalu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini hari ini.

Menurutnya, JIM Kuala Lumpur pernah menyerbu kawasan sama pada 2019 dan menahan 140 pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika itu namun kejiranan itu dikesan kembali aktif selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, kawasan setinggan itu sudah mula didiami sejak 10 tahun lalu oleh penduduk tempatan dan ada juga yang menyewakan kepada warga asing pada kada RM300 ke RM500 sebulan.

"Ada warga asing yang tinggal lima tahun di sini. Masa serbuan 2019 dia ada dokumen yang sah tetapi hari ini masih ada di sini sehingga berkeluarga dan ada anak.

"Kita sedang semak status tanah berkenaan yang kami percayai milik persendirian. Kita akan kesan pemilik rumah berkenaan," katanya.

Syamsul berkata, keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan Pati berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan kepada anggota JIM yang terbabit.

Katanya, kedudukan rumah yang berselerak membolehkan beberapa Pati melarikan diri menggunakan lorong-lorong tikus di sekeliling bukit terbabit.

"Pelbagai taktik mereka gunakan untuk mengelak daripada ditahan. Ada yang berpura-pura pengsan, seorang lelaki lompat ke dalam gaung dan patah kaki, ada yang menyorok atas bumbung.

"Operasi malam ini agak mencabar berikutan kawasan yang berbukit dikelilingi hutan dan banyak laluan-laluan tersembunyi," katanya.

Menurutnya, kebanyakan Pati terbabit bekerja dalam sektor pembinaan dan pembersihan.

Katanya, kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) (tiada dokumen sah) dan Seksyen 15(1)(c) (tinggal lebih masa) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 8:30 AM
Operasi pendatang asing Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Segambut Dalam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Operasi pendatang asing Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Segambut Dalam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN