ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi di kawasan pangsapuri Taman Bukit Cheras awal pagi tadi.
ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi di kawasan pangsapuri Taman Bukit Cheras awal pagi tadi.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seramai 425 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan pangsapuri Taman Bukit Cheras, di sini awal pagi tadi.

Tinjauan Harian Metro yang mengikuti operasi jam 1 pagi itu mendapati, hampir setiap unit di setiap tingkat pangsapuri berkenaan didiami warga asing berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zakaria berkata, pelbagai masalah timbul selepas kawasan pangsapuri 11 tingkat itu mula dibanjiri PATI yang menyewa dari pemilik rumah terdiri dari warga tempatan sejak 10 tahun lalu.

Lelaki berusia 60-an itu memberitahu, perkara berkenaan berlarutan walaupun operasi penguatkuasaan sering dijalankan kerana warga asing yang ditahan atau berpindah akan melepaskan rumah yang disewa kepada rakan senegara mereka.

"Kalau di sini dia orang ramai lagi daripada kita (tempatan). Kalau masuk lif tu memang orang dia (warga asing) sahaja… mereka bertukar-tukar (pindah) orang tapi sesama dia sahaja.

"Mereka ini masalah biasalah selalu buat bising, lagi-lagi bila mabuk mula lah bergaduh sesama sendiri dan buat hal di sini.

"Itu belum kira perangai mereka yang suka ludah sirih merata-rata dan ada anak-anak dia orang ini nakal sampai ada calarkan kereta penduduk tempatan," katanya kepada Harian Metro, ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ada antara penduduk yang ditemui mengakui tidak terganggu dengan kehadiran pendatang asing yang tinggi di kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, 600 warga asing diperiksa dalam operasi di tiga blok pangsapuri berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu 425 PATI ditahan berusia lingkungan 8 hingga 54 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Operasi hari ini dijalankan dengan kekuatan seramai 80 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur susulan aduan diterima daripada penduduk yang khuatir dengan jumlah PATI terlalu ramai di sini.

"Seramai 371 lelaki , 53 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ditahan terdiri daripada 30 warga Indonesia, Bangladesh (252), Myanmar (108), Filipina (dua), Pakistan (tujuh), Kemboja (enam) dan Nepal (20)," katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai helah cuba dilakukan PATI terbabit untuk melarikan diri malah ada antara mereka cuba bersembunyi di bawah meja, dan dalam almari.

Dalam pada itu, beberapa PATI yang ditahan mengakui menyewa kediaman tiga bilik itu daripada warga tempatan dengan kadar sekitar RM700 ke RM900 setiap rumah.

Majoriti daripada PATI yang ditemui adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja dalam pelbagai bidang antaranya pembersihan serta pembinaan.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan dan menyiasat pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada golongan PATI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 8:13 AM