Laluan rahsia didalam sebuah rumah yang digunakan bagi melarikan diri.
Laluan rahsia didalam sebuah rumah yang digunakan bagi melarikan diri.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bina terowong bawah rumah sebagai lorong tikus untuk melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

Terowong khas sepanjang 20 meter dibina secara bersambung di hampir 100 rumah di kawasan setinggan di Pantai Dalam di sini, dipercayai menjadi 'laluan selamat' kepada pendatang tanpa izin (Pati) setiap kali kawasan setinggan yang terkenal dengan jolokan 'setinggan Rio de Janeiro' diserbu.

Pemerhatian wartawan ketika menyertai operasi dinamakan Op Sapu mendapati terowong dibina di dalam rumah berkenaan ditutupi kayu dan setiap individu perlu merangkak untuk melalui laluan berkenaan.

Kelicikan kumpulan Pati itu gagal mengaburi mata pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) apabila operasi bermula jam 2 pagi semalam itu berjaya menahan 93 Pati atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, lebih 200 individu diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Dalam operasi ini, kami menahan 93 Pati terdiri daripada 47 lelaki, 33 wanita, 10 kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 60 tahun.

"Daripada jumlah itu, 62 individu ditahan adalah warga Indonesia manakala seorang lagi lelaki Myanmar. Semua mereka didapati tiada dokumen sah serta tinggal lebih masa," katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya mendapati ada terowong khas di bawah rumah dibina Pati untuk memudahkan mereka melarikan diri sekiranya diserbu.

"Kita menempatkan pegawai untuk melakukan pemeriksaan lanjut terhadap terowong dan butiran mengenainya akan didedahkan kemudian," katanya.

Ditanya aksi seorang Pati berlari atas bumbung rumah di kawasan berkenaan, Syamsul Badrin berkata, lelaki terbabit cuba menyelamatkan diri selepas dia menyedari serbuan itu.

Antara warga asing tanpa izin yang ditahan.
Antara warga asing tanpa izin yang ditahan.

"Suspek dilihat berlari atas bumbung manakala pegawai kita cuba menahannya. Namun selepas 30 minit suspek meloloskan diri dipercayai menggunakan lorong tikus di bawah rumah. Namun kita menempatkan pegawai di kawasan itu untuk memantau dan mengesan mereka yang lolos," katanya.

Katanya, kebanyakan Pati ditahan bekerja sebagai buruh bagi lelaki manakala wanita pula bekerja sebagai tukang cuci.

"Kami dimaklumkan warga asing menyewa pada harga RM200 hingga RM300 sebulan bagi satu bilik di kawasan itu," katanya mengakui kawasan setinggan itu pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa termasuk serbuan pada 2015.

Katanya, semua Pati ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Sementara itu, pemerhatian wartawan mendapati ada Pati ditahan ketika leka bermain judi daun terup dan bersembunyi dalam semak di kawasan.

Ada juga peralatan menghisap dadah ditemui di kawasan serbuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 9:00 AM