Kuala Lumpur: Polis menubuhkan pasukan siasatan khas bagi mengesan dan menyiasat kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi mengesan Anthony yang dilaporkan hilang selepas meninggalkan kediamannya Jumaat lalu.

“Hingga kini polis masih belum jumpa (Kevin). Penemuan kereta kelmarin (di Hutan Melintang, Perak) belum menemui bukti mengaitkan mangsa dengan kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Berita kehilangan Anthony menjadi viral selepas beberapa ahli keluarganya merayu orang ramai membantu menyalurkan maklumat untuk mengesan lelaki itu.

Difahamkan Anthony dilihat kali terakhir pada jam 9 pagi Jumaat lalu ketika meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Jalan Dutamas Raya di sini.

Kelmarin, kereta Proton Perdana ditemui hangus di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak yang menyerupai kenderaan dipandu Kevin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:10 AM