Hutan Melintang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor disambung semula jam 7 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, kawasan operasi pencarian hari ini diperluaskan dengan penggunaan pesawat oleh Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Selepas penemuan mayat terakhir yang dibawa bot nelayan ke jeti Hutan Melintang, dekat Bagan Datoh jam 9.15 malam tadi, tiada lagi mayat atau mangsa yang masih hidup ditemui sehingga pagi ini," katanya.

Menurutnya, setakat ini 16 mayat penumpang bot ditemui pasukan mencari dan menyelamat serta dibantu nelayan tempatan.

Seramai 19 penumpang berjaya diselamatkan manakala kira-kira 35 mangsa dikhuatiri masih hilang.

Kesemua warga Indonesia yang terselamat di bawa ke Balai Polis Hutan Melintang sebelum di hantar ke Klang, Selangor untuk proses dokumentasi malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 9:12 AM