Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ali Iqbal


Muar: Tindakan seorang lelaki berkongsi nombor pas pengesahan transaksi (OTP) dengan individu tidak dikenali mengundang padah apabila kerugian RM7,500, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa berusia 37 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang individu memaklumkan mahu menghantar bungkusan kepadanya.

Katanya, suspek memperkenalkan diri dan memberitahunya dia daripada pihak Pos Laju mahu menghantar bungkusan ke alamat tempat kerja pengadu.

"Suspek kemudian meminta pengadu melihat mesej masuk pada telefon bimbit dan meminta nombor OTP enam untuk pengesahan penghantaran bungkusan melalui pos tersebut.

"Atas kepercayaan itu, mangsa tidak berfikir panjang dan terus memberikan nombor OTP berkenaan kepada suspek," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, selepas memberikan nombor OTP diminta, pengadu mendapati berlaku dua transaksi pengeluaran wang tanpa pengetahuannya berjumlah RM7,500.

Berikutan itu, katanya, mangsa menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan segera.

"Justeru, polis sentiasa mengingatkan serta menasihat orang ramai peka dan ambil tahu kesalahan jenayah komersil ini yang berleluasa masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 4:18 PM